KSU KPT Tinjau Projek Pembangunan PPUM

KSU KPT Tinjau Projek Pembangunan PPUM

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Zaini Ujang telah mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam bagi memantau kemajuan beberapa projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di situ.

PPUM, sebuah Hospital Pengajar Universiti (HPU) yang ditubuhkan pada tahun 1968, terletak di atas tanah seluas 45 ekar dan dilengkapi dengan 1,588 katil, termasuk 40 katil ICU, 39 wad, 36 dewan bedah, serta 5 kemudahan ICU.

PPUM juga mempunyai 8,000 orang kakitangan dan pelatih, menjadikannya salah satu pusat perubatan terkemuka di negara ini.

Dalam lawatan tersebut, YBhg. Dato' Seri KSU KPT telah meninjau kemajuan dua (2) buah projek perolehan peralatan dan sebuah projek pembinaan fizikal.

Fokus utama lawatan adalah terhadap projek Pembinaan Kompleks Pakar Pesakit Luar (KPPL) PPUM yang diluluskan dengan kos asal RM159 juta yang bertujuan meningkatkan kemudahan, kapasiti pengajaran, penyelidikan, serta kecekapan pengurusan dan perkhidmatan di HPU tersebut.

Menariknya, projek KPPL telah menerima tambahan peruntukan sebanyak RM16.878 juta daripada sumber dalaman PPUM, menjadikan jumlah kos keseluruhan kini berjumlah RM173.878 juta.

Projek yang bermula pada 11 Ogos 2021 ini kini mencapai kemajuan 33% setakat 30 September lalu, sedikit melebihi jadual asal yang menetapkan kemajuan pada 32.50%.

Lawatan ini jelas menunjukkan komitmen KPT dalam memastikan projek pembangunan di Institusi Pendidikan Tinggi, khususnya yang melibatkan sektor kesihatan, berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1085
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 06 Februari 2025, 10:09:29.

logo-sirim