KSU Mula Lawatan Kerja Ke UK, Temui Pelajar Malaysia

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim telah memulakan program lawatan kerja lima (5) harinya ke United Kingdom (UK) semalam dengan mengadakan sesi pertemuan bersama-sama para pelajar Malaysia di sana.
Lawatan kerja tersebut adalah bersempena penyertaan Malaysia di Forum Pendidikan Dunia (Education World Forum – EWF) 2025 yang merupakan perhimpunan tahunan terbesar melibatkan 235 orang menteri serta pembuat dasar pendidikan dari seluruh dunia.
Pertemuan tersebut menjadi platform untuk beliau menyampaikan amanat serta berkongsi perkembangan terkini sektor pendidikan tinggi negara, khususnya berhubung Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035.
Untuk rekod, seramai 81 orang pelajar tajaan KPT sedang melanjutkan pengajian di UK, meliputi peringkat ijazah hingga pasca kedoktoran.
Mereka terdiri dalam kalangan pegawai universiti awam serta individu daripada pelbagai latar belakang akademik serta profesional.
Dalam rangka lawatan yang sama, YBhg. Datuk Dr. Anesee turut mengadakan kunjungan ke pejabat Education Malaysia London (EML) bagi meninjau pelaksanaan fungsi serta menilai keperluan semasa pejabat tersebut sebagai pusat sokongan kepada komuniti pelajar Malaysia di rantau ini.
Lawatan kerja ini turut melibatkan penyertaan beliau dalam pelbagai sesi berprofil tinggi di EWF 2025 yang akan berlangsung mulai 18 hingga 21 Mei 2025.
Kredit foto : UMPSA Malaysia
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 216