KSU Terharu Terima Semula Borang Permohonan Pengajian Diploma Tahun 1986 Di ITM

KSU Terharu Terima Semula Borang Permohonan Pengajian Diploma Tahun 1986 Di ITM

"Inilah asal-usul saya… dan saya bangga menjadi produk pendidikan tinggi negara,” ujar Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim ketika menerima sebuah cenderamata istimewa daripada Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), YBhg. Profesor Ts. Dr. Shahrin Sahib.

Cenderamata tersebut bukanlah barangan mewah, sebaliknya helaian borang yang menyimpan sejarah besar dalam kehidupan beliau – Borang KRP 1, iaitu borang permohonan asal untuk mengikuti pengajian peringkat diploma di Institut Teknologi MARA (ITM), yang telah beliau isi pada tahun 1985.

Diserahkan sempena lawatan rasmi beliau ke UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam pagi tadi, borang tersebut memaparkan sekeping gambar hitam putih dan tulisan tangan remaja bernama 'Anesee bin Ibrahim' yang memohon untuk mengikuti kursus Diploma Sains Komputer – sebuah bidang yang kini menjadi teras kepada transformasi negara dalam era digital.

“Saya sangat terharu dan tersentuh. Tak sangka borang asal saya ini masih disimpan. Ia membangkitkan semula kenangan ketika saya datang ke ITM sebagai anak muda dari kampung yang hanya berbekalkan harapan dan semangat untuk mengubah nasib keluarga,” tambah beliau.

YBhg. Datuk Dr. Anesee merupakan antara tokoh pentadbiran tinggi kerajaan yang telah menempuh sebahagian besar laluan akademiknya di UiTM.

Beliau telah melengkapkan tiga (3) tahap pendidikan tinggi di institusi tersebut, bermula dengan Diploma Statistik (1988), kemudian Diploma Lanjutan (1991), dan seterusnya Ijazah Sarjana Sains (2000).

Beliau kemudiannya meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Statistik di Durham University, United Kingdom pada tahun 2009.

Selain itu, beliau turut berkepakaran dalam bidang pengurusan sumber manusia, hal ehwal antarabangsa serta pembangunan organisasi, sekali gus memperlihatkan keluasan kompetensi beliau sebagai seorang penjawat awam berkaliber.

Oleh itu, pengalaman YBhg. Datuk Dr. Anesee membuktikan bahawa Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) tempatan, termasuklah UiTM, memiliki kapasiti yang tinggi dalam melahirkan pemimpin berkredibiliti.

Kejayaan beliau hari ini bukan sekadar hasil kecemerlangan individu, tetapi juga bukti bahawa sistem pendidikan tinggi negara berupaya menyediakan laluan jelas dari akar umbi hingga ke peringkat tertinggi pentadbiran negara.

“Kejayaan saya adalah manifestasi daripada sistem pendidikan tinggi negara yang inklusif, progresif dan berasaskan merit. UiTM membuka peluang kepada saya, membentuk saya, dan akhirnya melahirkan saya sebagai insan yang bersedia menyumbang kepada negara,” kata beliau mengakhiri ucapan ringkasnya. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 199
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 16 Jun 2025, 06:58:06.

logo-sirim