Kumpulan Pakar PPPTM 2026-2035 Berkumpul, Teliti Input Bagi Penghasilan Pelan Pembangunan Baharu

Ahli Kumpulan Pakar bagi Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035 telah berkumpul dalam satu bengkel yang berlangsung bermula Jumaat lalu bagi meneliti input serta pandangan pemegang taruh untuk penghasilan pelan pembangunan pendidikan tinggi baharu.
Program Bengkel Penulisan PPPTM 2026-2035 itu dihadiri oleh Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, melibatkan lebih 20 Ahli Kumpulan Pakar termasuk Pengerusinya, Prof. Emerita Datuk Dr. Asma Ismail serta sekitar 30 orang penulis daripada UPM.
KSU dalam ucapan penutupnya memaklumkan bengkel ini amat signifikan untuk melihat perkembangan semasa penulisan PPPTM 2026-2035 serta perbincangan dibuat sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu selepas ini yang dijangka pada 4 Disember 2024 serta Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat seterusnya yang dijangka pada 16 Januari 2025.
“Antara input yang telah dilontarkan oleh Ahli Kumpulan Penasihat sebelum ini termasuk mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan MoF dan KE; mendapatkan penerimaan pihak berkepentingan; dan melibatkan Naib-Naib Canselor Universiti Awam dan Swasta dalam proses validasi pelan pembangunan ini.
Saya juga percaya Ahli Kumpulan Pakar telah meneliti input-input tersebut untuk dimasukkan ke dalam pelan pembangunan melalui lonjakan-lonjakan yang berkaitan,” jelasnya dalam majlis penutup malam tadi.
Secara keseluruhan, 10 lonjakan yang dibentangkan ini bersifat menyeluruh, lengkap dan mencakupi segala aspek ekosistem pendidikan tinggi.
Jelas KSU, gabungan kepakaran dan maklum balas pelbagai pihak akan menghasilkan sebuah pelan pembangunan yang praktikal, memberi impak strategik kepada pembangunan bakat dan menjayakan agenda pertumbuhan ekonomi negara.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 401