Lawatan Kerja YBM ke Universiti Malaysia Terengganu

YB. Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi telah memulakan lawatan kerja ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan menyampaikan bantuan Pasca Banjir Terengganu #KPTPrihatin, pagi ini.

Pada majlis tersebut, YB Menteri telah menyerahkan 1,500 kotak bantuan sumbangan UMT dan UnisZA yang berbentuk keperluan asas dan makanan kepada wakil-wakil masyarakat untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa di kawasan terjejas sekitar Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

YB Menteri yang menyaksikan penyerahan sumbangan zakat daripada tujuh buah badan korporat kepada Naib Canselor UMT telah turut menyampaikan semua sumbangan tersebut kepada para pelajar asnaf yang terpilih.

Sumbangan zakat daripada Iqra Tabung Haji, Etiqa, MAIDAM, Perumahan Kinrara Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad dan Affin Islamic Bank telah memberi manfaat kepada sejumlah 3,000 orang pelajar IPT di sekitar Terengganu.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Prof. Dato' Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Prof Dr. Mazlan Abd. Ghaffar, Naib Canselor UMT dan YBhg. Profesor Dr. Fadzli Adam, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniSZA yang menjalankan fungsi Naib Canselor UniSZA.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3121
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 25 April 2024, 18:19:27.