Lawatan Pemantauan Projek Pembangunan KSU Ke UMK Fokus Solusi Positif

Lawatan Pemantauan Projek Pembangunan KSU Ke UMK Fokus Solusi Positif

Seterusnya, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Bachok pula petang tadi bagi membuat lawatan pemantauan projek-projek pembangunan universiti tersebut.

Sebelum membuat lawatan tapak, beliau telah menyertai sesi taklimat melibatkan Timbalan KSU (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, En. Mohamad Azhan Md Amir; Naib Canselor UMK, Prof. Dato' Dr. Razli Che Razak; Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kelantan; dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Objektif lawatan pemantauannya kali ini adalah untuk memaktubkan solusi positif dan tindakan tegas bagi menyiapkan semua projek-projek pembinaan dan naik taraf infrastruktur yang memerlukan perhatian segera semua pihak berkaitan.

Antaranya pembinaan asrama baharu; jaringan jalan raya; serta bangunan akademik dan guna sama.

Tegasnya, semua projek perlu disiapkan mengikut jadual bagi menjamin semua warga UMK dapat memanfaatkan kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang lengkap dan selesa.

Semalam, beliau turut meninjau keadaan Fakulti Perubatan Veterinar UMK yang menempatkan bilik kuliah, klinik, makmal penyelidikan dan asrama pelajar yang terpaksa disewa di premis persendirian.

YBhg. Dato' Seri KSU turut mengambil kesempatan di taklimat itu untuk mengingatkan semua yang hadir betapa pentingnya rakyat Malaysia menerapkan sikap mematuhi masa sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat Jepun.

Jelasnya, disiplin itu apabila diamalkan dalam rutin harian kita - ibadah, kerja, dan sebagainya - mampu menghasilkan produktiviti, hasil kerja yang berkualiti dan penjimatan kos. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 685
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 30 Oktober 2024, 10:30:11.

logo-sirim