Lawatan Penandaaras KPT Ke IPT Republik Singapura

Lawatan Penandaaras KPT Ke IPT Republik Singapura

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang telah mengetuai delegasi Kementerian bagi lawatan kerja ke Republik Singapura pada 17 dan 18 Februari 2025 yang lalu dengan melawat beberapa buah universiti seperti Management University (SMU), National University of Singapore (NUS), National University Hospital (NUH) dan Nanyang Technology University (NTU).

Lawatan kerja ini bertujuan memperkukuhkan kerjasama serantau dalam bidang pendidikan tinggi serta menjalankan penandaarasan terhadap amalan terbaik institusi bertaraf dunia.

Selain itu juga, adalah bagi mendapatkan pendedahan dan input lanjut mengenai struktur tadbir urus universiti awam di Singapura khususnya dalam aspek pengurusan sistem dan mekanisme berkaitan waktu bekerja kakitangan akademik serta proses penilaian untuk kenaikan pangkat ahli akademik dan kakitangan pentadbiran ke gred yang lebih tinggi.

Pertemuan dengan universiti-universiti tersebut juga memberi peluang untuk bertukar-tukar pandangan mengenai inovasi akademik, pembangunan modal insan dan strategi memperkasakan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia.

Usaha ini selari dengan aspirasi untuk melahirkan graduan berkualiti, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat antarabangsa.

Selain itu, lawatan ke hospital universiti juga turut diadakan bertujuan untuk meninjau sistem pendidikan perubatan, teknologi kesihatan terkini serta amalan terbaik dalam pengurusan hospital akademik.

Lawatan kerja ini turut disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Zainal Amin Ayub’, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; Pro Naib Canselor (Strategi & Kewangan) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dato' Dr. Roslee Rajikan; Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Hasniza Zaman Huri; Pengarah Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Shaiful Bahari Ismail; dan Pendaftar Kanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Encik Muhazam Mansor. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 296
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim