LIMA’25 Bermula Dengan Aksi Udara Memukau, KPT Sertai Pameran Buat Pertama Kali

Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) bermula secara rasmi hari ini dengan pertunjukan udara hebat oleh pesawat-pesawat pejuang TUDM, termasuk Sukhoi SU-30MKM dan Hornet F/A-18D, yang memukau ribuan pengunjung di ruang udara Langkawi.
Perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang turut diiringi Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, bersama barisan Menteri kabinet dan pimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.
Buat julung kalinya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyertai LIMA menerusi reruai pameran 'MOHE Pavilion' yang menampilkan penglibatan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
Pavilion tersebut mempamerkan pencapaian IPTA dalam bidang aeroangkasa, maritim, teknologi pertahanan, inovasi, TVET serta kerjasama strategik bersama industri tempatan dan antarabangsa.
Edisi ke-17 LIMA yang bertemakan “Inovasi Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan” tersebut menghimpunkan 860 pempamer dari 24 negara dan 31 kapal maritim bagi segmen pameran statik dan 'fleet review' di Resort World Langkawi.
YAB Perdana Menteri menyifatkan penganjuran LIMA’25 sebagai yang paling berjaya setakat ini, mencerminkan kesiapsiagaan pertahanan negara dan keperluan meneroka teknologi baharu serta kecerdasan buatan (AI) bagi menghadapi cabaran keselamatan global.
Beliau turut menegaskan peranan penting ASEAN sebagai tonggak kestabilan serantau, serta mengalu-alukan penyertaan kuasa-kuasa besar seperti China, India, Korea, Amerika Syarikat dan negara Eropah dalam LIMA’25.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 192