Majlis Anugerah Gemilang Pelajar POLYCC Platform Hargai Usaha Pelajar Berprestasi

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyifatkan Majlis Anugerah Gemilang Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti (MAGP POLYCC) sebagai platform penting untuk menghargai pencapaian pelajar cemerlang yang mampu menjadi pemangkin pembangunan negara.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, pelajar-pelajar POLYCC sentiasa membuktikan bahawa pendidikan TVET bukan sahaja melahirkan individu berkemahiran tinggi tetapi juga berkeupayaan menyumbang secara aktif kepada masyarakat dan negara.
“Mereka ini adalah hasil sistem pendidikan yang membentuk sahsiah, kepimpinan dan nilai daya saing. Kejayaan mereka memberi keyakinan kepada KPT bahawa generasi TVET mampu memacu masa depan negara,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut semalam.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan para pelajar yang diraikan adalah manifestasi kejayaan pendekatan holistik dalam pendidikan tinggi teknikal dan vokasional (TVET) negara.
Majlis anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) ini memberi pengiktirafan kepada pelajar dalam pelbagai bidang termasuk akademik, inovasi, keusahawanan, kepimpinan, kebudayaan, sukan dan kesukarelawanan.
YB Datuk Ts. Mustapha turut memaklumkan bahawa KPT terus komited memperkukuh pendidikan TVET melalui pelaksanaan pelbagai program strategik, termasuk pembelajaran berasaskan industri (Work-Based Learning) dan integrasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) ke dalam kandungan kurikulum.
MAGP POLYCC kali ini telah menampilkan 17 kategori anugerah dengan Roshini Manimaran dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Gemilang Utama Menteri Pendidikan Tinggi serta turut merangkul Anugerah Gemilang Inovasi.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan oleh Pertubuhan Muafakat Ibu Pejabat POLYCC kepada lima (5) pelajar yang terjejas akibat insiden letupan paip gas di Putra Heights pada April lalu.
Penganjuran majlis ini menyokong usaha berterusan KPT dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 222