Majlis Iftar KPT 2025 Eratkan Kemesraan Sesama Warga Kementerian

Majlis Iftar KPT 2025 Eratkan Kemesraan Sesama Warga Kementerian

"Dalam keluarga besar KPT ini, setiap individu ada peranan tersendiri. Jika kita saling membantu, kita tidak akan melihat kelemahan, sebaliknya kita akan nampak kelebihan yang boleh disumbangkan untuk kemajuan kementerian.”

Demikian ujar Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dalam Majlis Iftar Ramadan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025 yang berlangsung di Dewan Za’ba, petang tadi.

Menurut beliau, majlis seperti ini bukan sekadar acara rasmi, tetapi juga wadah untuk mengeratkan hubungan sesama warga kementerian, bukan hanya sebagai rakan kerja, tetapi sebagai sebuah keluarga besar yang saling menyokong antara satu sama lain.

Menambah keunikan majlis, YB Menteri turut berbesar hati untuk berbuka puasa secara santai dengan duduk bersila di lobi bersama pengurusan tertinggi, wakil pelajar, warga kementerian serta para tetamu yang hadir, mencerminkan semangat kebersamaan dan kesederhanaan dalam bulan Ramadan.

Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan warga KPT agar menjadikan Ramadan sebagai bulan refleksi dan penyucian jiwa, dengan menjauhi sifat-sifat negatif seperti permusuhan, iri hati dan penyebaran berita tidak benar di media sosial.

"Jika Ramadan ini pun kita masih keras hati dan masih sibuk menyebarkan perkara yang tidak baik, kita harus bermuhasabah. Bulan ini adalah masa untuk memperbaiki hubungan sesama manusia dan membersihkan hati," tegasnya.

Sebagai tanda penghargaan kepada kakitangan sokongan yang banyak menyumbang kepada kelancaran operasi harian kementerian, beliau turut menyerahkan sumbangan tajaan Kelab Sukan KPT kepada 98 orang Pembantu Khidmat Am.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut berkesempatan beramah mesra dengan para tetamu sebelum menunaikan solat sunat Tarawih secara berjemaah bersama para jemputan.

Hadir sama Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud serta Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 135
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim