Majlis Iftar Mahabbah Pendidikan Tinggi Simbolik Jalinan Strategik KPT Bersama Mahasiswa

Majlis Iftar Mahabbah Pendidikan Tinggi Simbolik Jalinan Strategik KPT Bersama Mahasiswa

Memasuki hari ke-22 umat Islam berpuasa, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menghimpunkan agensi-agensi di bawah KPT untuk memberi sumbangan kepada mahasiswa-mahasiswa yang kurang berkemampuan dalam Majlis Iftar Mahabbah Pendidikan Tinggi yang diadakan di sini petang semalam.

KPT melalui agensi dan jabatan di bawahnya termasuklah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengenalpasti beberapa mahasiswa yang berkelayakan dan sumbangan telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud pada majlis yang diadakan.

YB Timbalan Menteri dalam ucapannya berkata, semua bantuan yang diberikan adalah inisiatif Kementerian melalui universiti supaya tidak ada mahasiswa yang tercicir hanya disebabkan masalah kewangan dan diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau turut menasihatkan agar semua mahasiswa yang telah menerima sumbangan tersebut dapat menggunakan bantuan diberikan sebaik mungkin khususnya menjelang sambutan Hari Raya mahupun selepas Hari Raya bagi memenuhi keperluan-keperluan dan memudahkan urusan mereka di universiti kelak.

Dalam pada itu, YPS telah menyalurkan Bantuan Kasih Ramadan sebanyak RM250 kepada 50 orang mahasiswa berkelayakan berjumlah RM12,500 beserta bantuan peranti berupa laptop kepada dua (2) orang penerima yang layak.

Dalam majlis yang sama, sumbangan PTPTN telah diberikan melalui pembukaan akaun SSPN bernilai RM500 kepada lima (5) orang penerima selain sumbangan daripada Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) sebanyak RM100 kepada 100 orang penduduk setempat.

KPT turut menyampaikan Bantuan SULUNG atau Program Pembangunan Siswa Sulung 3.0 yang merupakan satu program di bawah KPT yang dilaksanakan bagi membantu anak pertama yang berjaya memasuki IPTA daripada keluarga B40.

Program ini bukan sahaja memberi bantuan dari segi kewangan kepada pelajar berkelayakan yang akan menerima pengecualian pembayaran yuran di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) malahan memudahkan pelajar agar mereka tidak perlu lagi

menanggung beban kewangan semasa pengajian dan hutang pinjaman yang tinggi selepas pengajian.

Majlis Iftar Mahabbah Pendidikan Tinggi yang dihadiri oleh lebih 800 mahasiswa ini sebagai wadah dalam memperkukuhkan hubungan strategik antara Kementerian dan mahasiswa.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; dan Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Jabatan serta Agensi di bawah KPT. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 484
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 24 Jun 2025, 02:53:17.

logo-sirim