Majlis Pelancaran JAGADrone di UTM, Skudai

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi hari ini telah menyempurnakan Majlis Pelancaran JAGADrone di UTM, Skudai. JAGADrone yang menerapkan elemen teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), merupakan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) yang dicipta untuk melakukan sistem rondaan dan pengawasan kampus bagi tujuan keselamatan.

Sistem JAGADrone terdiri daripada komunikasi jarak jauh, kawalan berasaskan web, pangkalan data awan dan boleh disatukan dengan platform sistem rondaan pengawal berasaskan Internet Kebendaan (IoT) sedia ada, GuardExpert Pro, yang telah dilaksanakan di kampus UTM untuk pengurusan operasi jejakan terestrial rondaan keselamatan secara masa sebenar yang cekap.

Kemampuan tambahan dalam bentuk pengawasan dan rondaan udara menggunakan dron ini sangat berguna terutamanya untuk kampus besar seperti UTM yang mempunyai banyak lokasi yang sukar dijangkau dan berisiko tinggi.

JAGADrone akan menjadi responden pertama terhadap kecemasan kampus seperti bertindak kepada amaran panik yang dicetuskan dari aplikasi mobil oleh alat mudah alih yang dibawa oleh pengawal bertugas atau mengesan pencerobohan sempadan kampus.

Ia juga dilengkapi dengan ciri seperti geofencing yang dapat dikendali dan dikonfigurasi dari sistem pelayar web di stesen pangkalan bumi dan tersedia dalam mod kawalan manual dan automatik.

Ciri-ciri lain termasuk eye-in-the-sky dengan aliran video dan gambar masa sebenar, pulang secara automatik ke pad pengecas, pengangkut kit pertolongan cemas, mesra alam dengan sistem pendorong yang bebas karbon dan rendah hingar.

JAGADrone dibangunkan menerusi Program ICONIC di bawah Profesor Fakulti Kejuruteraan UTM, Prof. Ts. Dr. Ruzairi bin Abdul Rahim dan diketuai oleh Ketua Projek, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan UTM, Dr. Ir. Mohd Nazri Bin Mohd Nasir.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 6325
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 April 2024, 16:56:01.