Majlis Pelancaran Portal, Facebook dan Buku PPRN

portal

21 Februari 2022

Pagi tadi telah berlangsungnya pelancaran Portal, Facebook, Sistem Pengurusan dan Buku Program Public-Private Research Network (PPRN) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Perasmian majlis disempurnakan oleh YBrs. Dr. Mohd Zabri Bin Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan & Pembangunan) KPT yang mewakili YBhg. Dato' Sri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha KPT.

PPRN adalah satu model kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi, industri dan agensi-agensi kerajaan bagi mewujudkan knowledge-friendly ecosystem di mana industri akan membentangkan permasalahan teknologi manakala penyelidik pula memberi cadangan penyelesaian melalui projek inovasi yang berkaitan.

Hasil kerjasama dengan UiTM, satu portal dan Facebook Page telah dibangunkan untuk memasarkan perkhidmatan serta maklumat berkaitan PPRN iaitu Facebook Pagehttps://www.facebook.com/PPRN.PublicPrivateResearchNetwork dan pautan portal PPRN: https://pprn.mohe.gov.my/ 

Selain itu, UTM pula telah membina Sistem Pengurusan PPRN untuk mempermudahkan proses kerja daripada manual kepada dalam talian merangkumi aspek pengurusan permohonan projek, penilaian dan pemantauan.

Turut dilancarkan pada majlis hari ini ialah buku berkenaan falsafah pelaksanaan PPRN yang berjudul “Driving the Nation’s Productivity” dan juga buku rakaman kisah kejayaan projek-projek PPRN iaitu “Creating Shared Prosperity” terbitan USM.

Dalam ucapan YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak yang dibacakan oleh YBrs. Dr Mohd Zabri, beliau berharap semua yang terlibat dapat mengukuhkan kerjasama yang telah ada dalam menjayakan pelbagai projek PPRN yang telah dirancang.

Majlis yang turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dato' Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah JPT, YBhg. Dato' Shaharuddin Abu Sohot, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar KPT yang menjalankan fungsi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Prof. Dato' Ir Dr Kamal Nashruddin Mustapha, Naib Canselor UNITEN, dan Dr Ismail Parlan, Ketua Pengarah FRIM itu telah diadakan di Lobi Utama, KPT.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 13808
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 23 April 2024, 10:59:17.