Malaysia Peneraju Teknologi Hijau Marin Melalui UPM-UTM OTEC Centre

Malaysia Peneraju Teknologi Hijau Marin Melalui UPM-UTM OTEC Centre

Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempelopori pembangunan Makmal Penyelidikan Hibrid Ocean Thermal Energy Conversion (H-OTEC) yang memanfaatkan potensi Air Dasar Laut (ADL).

Inisiatif ini menjadikan Malaysia peneraju teknologi OTEC di peringkat global sambil memacu usaha dalam teknologi tenaga hijau marin yang mampan.

Majlis Perasmian UPM-UTM OTEC Centre telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, petang tadi.

Makmal ini terletak di Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (IAQUAS), UPM Port Dickson dan memainkan peranan penting dalam menyokong matlamat Carbon Net-Zero serta masyarakat rendah karbon, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) di Asia Tenggara.

Kolaborasi antarabangsa antara UPM, UTM, Saga University dan rakan industri Jepun seperti Xenesys menonjolkan kekuatan Malaysia dalam menjalin sinergi dengan pakar global.

Teknologi H-OTEC yang dibangunkan turut menggabungkan penjanaan tenaga elektrik dengan teknologi penyahgaraman air laut untuk menghasilkan air minuman. Inovasi ini relevan bagi pelbagai sektor seperti akuakultur, penyahgaraman dan industri makanan.

Sebagai sebahagian daripada program Science and Technology Research Partnership for Sustainable Development (SATREPS), makmal ini menyediakan kemudahan penyelidikan bertaraf dunia. Ia juga membuka peluang untuk menarik penyelidik, pelajar serta institusi pembiayaan antarabangsa.

Dengan pelancaran pusat ini, Malaysia terus melangkah ke hadapan dalam usaha membangunkan penyelesaian lestari bagi tenaga hijau marin dan sumber daya yang mampan. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 86
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 07 Februari 2025, 01:24:25.

logo-sirim