Malaysia Perlu Model Pendidikan Baharu Hadapi Cabaran Penjagaan Kesihatan Abad Ke-21

Malaysia Perlu Model Pendidikan Baharu Hadapi Cabaran Penjagaan Kesihatan Abad Ke-21

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa institusi pendidikan tinggi perlu memainkan peranan utama dalam menyediakan penyelesaian terhadap cabaran kompleks sektor penjagaan kesihatan, termasuk penyakit baharu, populasi menua dan perkembangan teknologi yang pesat.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, lanskap kesihatan global yang semakin mencabar memerlukan pendekatan pendidikan yang bukan sahaja menekankan ilmu klinikal tetapi juga kefahaman mendalam tentang faktor sosial, ekonomi, persekitaran dan budaya yang membentuk kesihatan manusia.

“Ini bukan semata-mata isu penjagaan kesihatan tetapi juga isu pendidikan tinggi. Universiti kita mesti melahirkan profesional perubatan yang bukan hanya cekap dari segi teknikal tetapi juga memahami manusia secara holistik,” katanya ketika merasmikan Sir Jeffrey Cheah Sunway Medical School di Sunway University semalam.

Beliau turut menyokong kerjasama antara Sunway University dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam menawarkan program Doktor Perubatan (MD), yang dilihat sebagai contoh terbaik model pendidikan tinggi baharu berteraskan inovasi, kolaborasi dan keberkesanan sosial.

Menurut beliau, kerjasama itu seiring dengan hala tuju Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2035 (PPTM 2025–2035) yang menekankan sinergi antara sektor awam dan swasta melalui pendekatan 'One Higher Education'.

“Melalui kolaborasi seperti ini, kita dapat memperkukuh kebolehpasaran graduan, memperhebat penyelidikan serta memberi impak lebih luas kepada masyarakat menerusi pendekatan heliks lima (5) ganda: kerajaan, akademia, industri, komuniti dan alam sekitar,” katanya.

“Pelancaran sekolah perubatan ini juga menyokong usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global yang menawarkan pengalaman pembelajaran berkualiti kepada lebih 130,000 pelajar antarabangsa dari 140 negara,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa masa depan bidang kesihatan akan turut dibentuk oleh teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), namun menekankan bahawa teknologi harus menjadi pelengkap kepada nilai kemanusiaan.

“Sunway adalah sebahagian daripada rangkaian AI Universiti Malaysia yang diketuai oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Sekolah ini berpotensi besar menjadi peneraju dalam pendidikan perubatan berteraskan teknologi,” katanya.

Beliau juga menghargai usaha sekolah tersebut memasukkan elemen ‘planetary health’ dan kelestarian dalam kurikulum, seiring dengan satu anjakan khusus yang bakal diperkenalkan dalam PPTM 2025–2035 kelak.

YB Menteri turut menyampaikan penghargaan kepada Tan Sri Sir Jeffrey Cheah atas sumbangan berterusan dalam pendidikan dan penjagaan kesihatan, sambil merakamkan ucapan tahniah kepada 30 pelajar kelompok pertama yang memulakan pengajian MD di sekolah tersebut. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 277
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 16 Jun 2025, 06:58:06.

logo-sirim