Malaysia-Rusia Perkukuh Kerjasama Dalam Bidang Strategik Termasuk Pendidikan Tinggi

Malaysia-Rusia Perkukuh Kerjasama Dalam Bidang Strategik Termasuk Pendidikan Tinggi

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir telah mempengerusikan pertemuan bersama Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia, TYT Naiyl M. Latypov bagi membincangkan hala tuju susulan lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke Rusia baru-baru ini.

Pertemuan ini menumpukan kepada memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang strategik termasuk pendidikan tinggi, tenaga, teknologi, sumber mineral, dan pembangunan modal insan. Antara yang dibincangkan ialah cadangan perluasan program biasiswa, kemajuan inisiatif di bawah Suruhanjaya Bersama Malaysia–Rusia bagi Ekonomi, Sains, Teknikal dan Kebudayaan (JC-ESTC), dan perancangan Mesyuarat JC-ESTC yang bakal dihoskan oleh Malaysia tahun ini.

Turut diberi tumpuan ialah persiapan bagi Dialog Sumber Mineral Malaysia–Rusia dan Forum Pendidikan Tinggi, dua acara penting yang dijadualkan berlangsung serentak sempena Mesyuarat JC-ESTC. Program ini dijangka menghimpunkan pemimpin industri, ahli akademik dan penyelidik dari kedua-dua negara.

Malaysia dan Rusia berkongsi komitmen dalam meneroka peluang baharu, memajukan inovasi, dan membina jaringan kerjasama yang lebih erat demi manfaat bersama rakyat dan negara masing-masing. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 305
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 16 Jun 2025, 06:58:06.

logo-sirim