Malaysia Tingkat Usaha Tarik Minat Pelajar Uzbekistan Ke IPT Tempatan

Malaysia Tingkat Usaha Tarik Minat Pelajar Uzbekistan Ke IPT Tempatan

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah meraikan Pengarah Projek Pendidikan Republik Uzbekistan, Tuan A. Khudaikulov dalam Majlis Suai Mesra Malaysia-Uzbekistan yang berlangsung di ibu negara malam semalam.

Dihoskan oleh Education Malaysia Global Services (EMGS), majlis tersebut menjadi platform penting mengukuhkan hubungan akademik yang telah terjalin antara kedua-dua negara dalam menarik lebih ramai pelajar Uzbekistan melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa Malaysia kini menjadi destinasi pilihan bagi pelajar antarabangsa, termasuk dari Uzbekistan.

Sejak tahun 2022, jumlah pelajar Uzbekistan di Malaysia terus meningkat, dan pada masa ini seramai 584 orang pelajar sedang melanjutkan pengajian di negara ini.

"Malaysia menawarkan sistem pendidikan moden dengan program pengajian yang diiktiraf di peringkat global serta hubungan erat dengan industri yang memberi kelebihan kepada pelajar untuk kerjaya masa depan.

"Kita juga menyediakan pengalaman pembelajaran yang selamat dan inklusif dalam persekitaran pelbagai budaya," katanya.

Beliau turut menekankan kemudahan khas yang disediakan kepada pelajar antarabangsa termasuk Pusat Ketibaan Pelajar Antarabangsa (International Students Arrival Centre - ISAC) di Terminal 1 dan 2 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta empat (4) lorong imigresen khas bagi memudahkan urusan kemasukan pelajar asing.

Malaysia kini menjadi tuan rumah kepada lebih 120,000 pelajar antarabangsa dalam sektor pendidikan tinggi, dan angka ini selaras dengan Agenda Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menyasarkan untuk menarik seramai 200,000 orang pelajar antarabangsa dari pelbagai negara ke Malaysia dalam tempoh terdekat sebagaimana diumumkan oleh YB Menteri semalam.

Dengan Uzbekistan menduduki tangga ke-22 dalam senarai pelajar antarabangsa di Malaysia, usaha yang lebih giat akan diteruskan bagi menjadikan Malaysia destinasi utama bagi pelajar dari negara Asia Tengah itu.

Kerjasama erat antara EMGS, KPT dan pihak IPT dijangka akan memperkukuhkan lagi hubungan akademik serta membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada pelajar Uzbekistan di Malaysia.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md Amir. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 398
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim