Mifzal Salihin Dinobat Tokoh Siswa Kebangsaan 2022

Mifzal Salihin Dinobat Tokoh Siswa Kebangsaan 2022

Mifzal Salihin, Pelajar Tahun Ketiga Kejuruteraan Mekanikal Universiti Malaya (UM) dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Kebangsaan 2022. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, trofi, Biasiswa Tokoh Siswa dan sijil.

Anugerah telah disampaikan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi di Majlis Anugerah Tokoh Siswa (ATS) 2022 di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya.

ATS merupakan anugerah berprestij bagi mengiktiraf sumbangan dan pencapaian mahasiswa sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa. Sebanyak 20 buah anugerah telah dipertandingkan merangkumi kategori kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan dan kebudayaan termasuk anugerah utama iaitu Anugerah Menteri Pendidikan Tinggi.

Pemenang-pemenang telah mempamerkan kecemerlangan kepimpinan melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti/program pembangunan modal insan yang menyumbang kepada penyerlahan potensi mereka dari segi pengetahuan, kemahiran dan sahsiah.

Penglibatan mahasiswa dalam pelbagai aktiviti/program pembangunan insaniah ke arah pencapaian anugerah ini berupaya membentuk etika dan rohani, menerapkan nilai kasih-sayang dan hormat-menghormati serta meningkatkan tahap integrasi dan perpaduan nasional di kalangan mahasiswa.

Majlis ATS tahun ini merupakan tahun ke-8 pelaksanaannya dan dijayakan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM).

Turut hadir YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha KPT, Pengurusan Tertinggi KPT dan para finalis anugerah.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2906
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 27 Mac 2024, 16:20:33.