Misi Perubatan Bencana Banjir KPT-UiTM 2021 di Klang, Selangor

31 Disember 2021

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi hari ini telah menyertai Misi Perubatan Bencana Banjir KPT-UiTM 2021 di Klang, Selangor.

Misi yang melibatkan kerjasama KPT dan UiTM ini dilaksanakan untuk membantu penduduk yang terjejas akibat banjir dan mempunyai keupayaan yang terhad untuk memperolehi akses kepada keperluan kesihatan asas.

Misi Perubatan ini menyediakan khidmat Klinik Bergerak, farmasi, klinik dan khidmat 20 orang pakar perubatan untuk penduduk di sekitar Masjid Al Islah, Kg Nelayan, Telok Gong, dan Pelabuhan Klang untuk menghadiri pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan rawatan secara percuma.

Selain itu, pasukan kesihatan dan khidmat ambulan juga disediakan untuk bergerak secara mobil bagi membawa mangsa-mangsa dari rumah ke klinik bergerak bagi mereka yang memerlukan rawatan.

Antara mangsa yang mendapat manfaat daripada inisiatif ini ialah Sahar, Mantan bilal Masjid Al-Islah yang mempunyai sakit tua dan menetap sejauh 1KM dari kawasan masjid, serta Mohd Irwan yang menghidap penyakit obesiti sehingga memerlukan 10 ahli Bomba untuk mengangkat mangsa.

Selain daripada bantuan perubatan, penduduk sekitar juga diberikan sumbangan keperluan asas untuk membantu meringankan beban mereka.

Misi Perubatan turut disertai oleh Prof. Ts. Dr. Hjh. Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM, Ahli Majlis Eksekutif UiTM, Pendaftar UiTM, dan Taskforce UiTM yang terdiri daripada Pasukan Bridged Sukarelawan UiTM, Unit Fasiliti Kampus Sg. Buloh, Pusat Kesihatan UiTM, Polis Bantuan UiTM, dan Jabatan Komunikasi UiTM.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 5993
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 23 April 2024, 10:59:17.