MoU KPT-SPR Bantu Mahasiswa Cakna UNDI 18

MoU KPT-SPR Bantu Mahasiswa Cakna UNDI 18

Sebagai manifestasi sokongan kepada pelaksanaan Undi18 oleh kerajaan, KPT dan SPR akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Program Memperkasakan Pendidikan Pengundi Mahasiswa bagi merancang pelaksanaan program-program pendidikan pengundi muda terutamanya mahasiswa yang bakal turun mengundi kali pertama pada PRU akan datang.

YBhg. Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi berkata, jawatankuasa tersebut akan dianggotai oleh wakil-wakil Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) daripada 20 buah UA, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Akademi Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Beliau bersama Tan Sri Abdul Ghani Saleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, hadir menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman serta nota kerjasama antara UA, Politeknik dan Kolej Komuniti di bawah KPT dengan Akademi Pilihan Raya mewakili SPR di Dewan Za'ba petang tadi.

Katanya lagi, KPT komited untuk memberikan pendedahan dan kefahaman kepada para mahasiswa agar cakna sistem demokrasi, pilihan raya dan politik negara melalui pelbagai program libat urus bersama mahasiswa.

Antaranya ialah program Pengenalan Asas Kesedaran Mengundi Kepada Pelajar Baharu IPT; Penerbitan dan Hebahan Digital Berkaitan Pendidikan Pengundi; APR Associate Trainer (AAT)/ Training of Trainers (ToT); serta Pendedahan Terhadap Simulasi Sebenar Pilihan Raya.

Turut hadir Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, KSU KPT, Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, TKSU (Dasar) KPT, Dr. Mohd Zabri bin Yusoff, TKSU (Pengurusan Dan Pembangunan) KPT, Profesor Dato’ Dr. Husaini Omar, KP Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato' Indera Ikmalrudin Ishak, Setiausaha SPR, Ts. Zainab Ahmad, Ketua Pengarah JPPKK.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 5075
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 16 April 2024, 08:56:15.