MoU POLYCC Dan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Perkasa TVET Edutourism

Program POLYCC x Persatuan Hotel Malaysia (Malaysian Association of Hotels - MAH) sempena LIMA 2025 memperlihatkan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) negara melalui pendekatan pelancongan pendidikan atau edutourism.
Majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan MAH telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud di sini pagi tadi.
Program ini menjadi platform penting untuk memperkukuh kolaborasi pendidikan–industri dalam bidang hospitaliti, sejajar dengan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mengangkat edutourism sebagai satu daripada pemacu pertumbuhan ekonomi baharu.
Menurut YB Datuk Ts. Mustapha, edutourism merupakan gabungan unik antara pendidikan dan pelancongan yang memberi manfaat kepada pelbagai pihak, termasuk pelajar, industri dan komuniti setempat.
Beliau menyifatkan pendekatan ini sebagai satu "game changer" yang mampu memperluas keterlihatan institusi TVET Malaysia di peringkat antarabangsa.
Katanya, KPT menyasarkan sekurang-kurangnya 100 peserta antarabangsa setiap tahun bagi menyertai program ini secara berfasa bermula tahun ini. Langkah ini juga selari dengan aspirasi Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2035 (PPTM 2025–2035) dalam memperkasa TVET dan memperluas jaringan kerjasama antarabangsa.
Sebagai permulaan, seramai 15 orang pelajar dari Rajabhat University Songkhla, Thailand akan menyertai program edutourism di LTA pada 15 hingga 20 Jun depan.
Program POLYCC x MAH turut merangkumi tiga (3) komponen utama iaitu Industry Expert Enrichment Program (IEEP), Executive Lecturer Industrial TVET Empowerment (ELITE) dan Hospitality Inclusive Programme (HIP) melibatkan penyertaan pelajar berkeperluan khas.
Selain MoU antara JPPKK dan PHM, majlis turut menyaksikan pertukaran Surat Hasrat (LoI) antara JPPKK dan Qube Integrated Sdn. Bhd., serta pra-pelancaran Malaysian Association of Hotels Training and Education Centre (MAHTEC) @ LTA.
Beliau turut mengadakan kunjungan ringkas ke MAHTEC@LTA di sini bagi meninjau program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang berperanan sebagai hab strategik bagi latihan profesional dan pembangunan industri di Langkawi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md. Amir; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Datin Christina Toh; Pengerusi Jawatankuasa Penasihat LTA, Dato' Mohammad Nazifuddin Mohammad Najib; serta Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Hotel Malaysia merangkap Ahli Majlis Penasihat Industri Politeknik, Dato’ Megat Sharul Azman Abas.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 251