Pelajar Politeknik Port Dickson Diseru Jadikan Kesungguhan Rakyat Palestin Tuntut Ilmu Sebagai Inspirasi

Kesungguhan rakyat Palestin dalam menuntut ilmu meskipun diuji dengan penindasan dan kehancuran infrastruktur pendidikan, wajar dijadikan inspirasi kepada pelajar di negara ini.
Hakikat ini menjadi antara inti pati yang ditekankan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, ketika berucap kepada warga Politeknik Port Dickson (PPD) di destinasi kedua siri Kembara Ramadan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini malam tadi.
Menurut beliau, pendidikan adalah kunci utama dalam membentuk masa depan negara dan Malaysia amat memerlukan tenaga mahir dalam bidang teknikal dan kejuruteraan yang dilahirkan oleh Politeknik bagi memenuhi permintaan industri yang semakin berkembang.
Beliau turut menekankan kepada pelajar akan kepentingan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) serta konsep 'upskilling and reskilling' dalam dunia pekerjaan yang kompetitif supaya mereka dapat meningkatkan kebolehan bagi mendapatkan pekerjaan dengan pendapatan yang lebih tinggi.
Dalam kesempatan tersebut, beliau turut mengingatkan para pelajar untuk sentiasa berwaspada, terutamanya dalam perjalanan pergi dan pulang dari kampus bagi mengelakkan kemalangan atau insiden tidak diingini yang boleh mendukacitakan keluarga.
Setibanya di situ, YB Menteri sempat melawat Pusat Teknologi dan Perkhidmatan Tenaga Elektrik (CENTS) di PPD yang diiktiraf oleh KNX Belgium sebagai pusat latihan bertauliah dalam bidang teknologi elektrik.
PPD telah menghidangkan sajian nasi bertalam sebagai juadah berbuka puasa yang turut dinikmati oleh YB Menteri bersama kira-kira 3,000 orang warganya termasuklah mereka yang bukan Islam.
Pada program yang sama, YB Menteri turut menyaksikan sesi penyerahan dermasiswa bernilai RM15,000 dari Koperasi PPD; Tabung Amanah Zakat PPD bernilai RM14,000; serta Geran Aktiviti Majlis Perwakilan Pelajar Tahun 2025 bernilai RM5,000 daripada Yayasan Perkasa Siswa.
YB Menteri turut mendirikan solat fardu Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah serta berkesempatan menikmati juadah moreh bubur kacang hijau yang telah dimasak secara gotong-royong oleh warga PPD.
Siri Kembara Ramadan KPT ini akan diteruskan ke institusi pendidikan tinggi lain bagi memastikan agenda pendidikan tinggi negara dapat dikongsi secara menyeluruh kepada seluruh warga akademik dan mahasiswa di Malaysia.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Pengarah PPD, Haji Hasan Mohd Sharif.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 150