Pelancaran Dasar TVET Negara 2030, Selaras Dasar Dan Akta Sedia Ada Perkasa Bidang TVET Kebangsaan
Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim pagi tadi telah melancarkan Dasar TVET Negara 2030 yang bertujuan untuk menyelaraskan program TVET di Malaysia dengan dasar dan akta sedia merangkumi Dasar Pendidikan Kebangsaan; Dasar Pendidikan Tinggi Nasional; Akta Pendidikan 1996 (Akta 550); Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652); dan Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta MQA 679).
Pelaksanaan Dasar tersebut akan berpandukan kepada lima (5) teras berserta 23 strategi yang akan digunakan oleh kesemua 12 buah kementerian yang terlibat dengan bidang TVET termasuklah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Beliau yang hadir bagi merasmikan Hari TVET Negara (HTN) 2024 di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat (ILPKL) dekat sini pagi tadi telah disambut oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET), YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir serta jemaah menteri yang lain.
Pada majlis itu juga, beliau telah mengumumkan pembiayaan tambahan sebanyak RM200 juta yang akan disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) khusus untuk manfaat lebih 13,000 pelajar bagi program TVET dalam bidang berasaskan peralihan tenaga; industri berasaskan teknologi dan digital; elektrik dan elektronik (E & E); pertanian dan industri asas tani (IAT); serta industri unsur nadir bumi.
Peruntukan dalam bidang-bidang tersebut akan memacu institusi TVET dalam membangunkan program-program latihan yang selari dengan hasrat kerajaan untuk memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV); Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR); dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).
Menurut YAB Perdana Menteri, "ia adalah usaha mewujudkan peluang pekerjaan berimpak tinggi selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kemampanan, anjakan demografi dan globalisasi rantaian nilai yang akan mengubah sifat pekerjaan yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir".
Sementara itu, YAB Dato' Seri Anwar turut bersetuju dengan cadangan untuk membuka lebih banyak peluang TVET kepada golongan orang kurang upaya (OKU) kerana menurut beliau, pendekatan tersebut selari dengan penerapan dasar dan Kerangka Ekonomi Madani yang mencakupi penduduk luar bandar khususnya masyarakat bumiputera di Sabah serta Sarawak.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Haji Zahari Ismail dan; Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkap pengerusi Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 3037