Pembelajaran Sepanjang Hayat; Pelajar Diseru Teruskan Pembelajaran Walau Telah Graduasi

Pembelajaran Sepanjang Hayat; Pelajar Diseru Teruskan Pembelajaran Walau Telah Graduasi

Para pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) diseru untuk meneruskan pembelajaran dan mengejar ilmu walau telah bergraduasi kelak sebagai usaha untuk meningkatkan kemahiran, memperkasa diri dan memberi sumbangan kepada negara dan masyarakat.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut menggalakkan agar masyarakat juga dapat mengikuti pelbagai program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang ditawarkan oleh institusi di bawah KPT.

“Universiti ini bukanlah menjadi tempat terakhir untuk pelajar-pelajar dan masyarakat menuntut ilmu, kerana kita digalak menuntut ilmu sehingga akhir usia. Teruskan pelajari ilmu-ilmu baharu bagi meningkatkan nilai tambah dan memajukan diri.

“Sebenarnya terdapat pelbagai peluang dan ruang yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk rakyat meneroka dan mendalami ilmu sebagai satu usaha pembudayaan PSH termasuk pengajian kursus pendek, pengajian jarak jauh (PJJ) serta separuh masa,” jelas beliau ketika berucap di hadapan warga Universiti Utara Malaysia (UUM) di program Kembara Ramadan KPT di Sintok, Kedah.

Program santuni warga IPT ini diilhamkan sendiri oleh YB Menteri untuk berinteraksi secara terus, bertukar pandangn selain menyampaikan sumbangan kepada yang memerlukan.

Ia akan diteruskan ke institusi pendidikan tinggi lain bagi memastikan agenda pendidikan tinggi negara dapat dikongsi secara menyeluruh kepada seluruh warga akademik dan mahasiswa di Malaysia.

Turut berlangsung adalah penyerahan beberapa sumbangan termasuk Yayasan Perkasa Siswa (YPS) yang memberikan sumbangan sebanyak RM250 kepada 20 mahasiswa berkeperluan menerusi Bantuan Kasih Ramadan YPS.

RHB Islamic Bank Berhad juga turut menyalurkan sumbangan hasil pelaksanaan inisiatif kad MySiswa bagi tahun 2024 bernilai RM105,340 kepada UUM.

Selain itu, sumbangan korporat bernilai RM200,000 serta sumbangan Program Bantuan Tajaan Makanan (Fidyah) Baitulmal sebanyak RM120,000 turut diserahkan kepada pengurusan UUM dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Pada kesempatan itu, YB Menteri turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 daripada YPS kepada MPP bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti pelajar.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Hj. Megat Sany Megat Ahmad Supian, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman dan Naib Canselor UUM, Prof Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 130
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim