Pembinaan Replika Monumen Kedaulatan Dan Buku Pulau Layang-Layang

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang telah merasmikan Majlis Pelancaran Pembinaan Replika Monumen Kedaulatan dan Buku Pulau Layang-layang di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UMS khususnya Naib Canselor, YBhg. Prof. Datuk Dr. Kasim Mansur, Pusat Penyelidikan Pulau-Pulau Kecil (SIRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) serta seluruh warga UMS di atas penganjuran majlis yang bermakna itu.
Ia adalah bukti komitmen universiti tersebut dalam menerajui penyelidikan berkualiti tinggi yang bukan sahaja mengukuhkan nama universiti di peringkat nasional dan antarabangsa tetapi juga menyumbang kepada pengukuhan kedaulatan Malaysia di Laut China Selatan.
Untuk rekod, SIRC dan FSSA UMS telah dianugerahkan geran penyelidikan di bawah Program Geran Penyelidikan Strategik oleh KPT pada tahun 2019 untuk projek bertajuk 'Sumber Semulajadi dan Potensi Pembangunan Strategik Ekonomi Luar Pantai Malaysia: Pulau Layang-Layang' (TR@M2019). Projek ini menyatukan penyelidik dari pelbagai disiplin, termasuk sains, ekonomi, geopolitik, sejarah, pelancongan dan kejuruteraan untuk menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada universiti dan negara.
Projek penyelidikan ini bertujuan memberikan pandangan tentang nilai ekologi pulau tersebut dan peranannya dalam pertahanan negara, sekali gus menyumbang kepada pengetahuan akademik dan pembuatan dasar yang praktikal.
Di samping itu, pelancaran replika monumen ini pula merupakan inisiatif inovatif oleh penyelidik SIRC untuk 'membawa laut ke darat' dengan menjadikan Monumen Kedaulatan Pulau Layang-Layang lebih mudah diakses oleh masyarakat.
Selain itu, buku 'Pulau Layang-Layang: Malaysia’s Gem in the South China Sea' mengandungi 11 bab yang meneroka aspek geopolitik, sosioekonomi dan sumber semula jadi Pulau Layang-Layang. Ia mendokumentasikan usaha strategik dan sejarah Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan serta kepentingan alam sekitar, geologi dan ekologi pulau tersebut.
YBhg. Dato' Sri KSU dalam ucapannya menyatakan kejayaan ini adalah bukti bahawa usaha gigih, kreativiti dan inovasi telah membuahkan hasil yang amat bermakna.
Justeru, beliau menyeru agar semua pihak terus meningkatkan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan mengambil peluang untuk meneroka bidang-bidang baharu yang berpotensi tinggi, berinovasi dan menghasilkan penyelidikan yang mampu menyelesaikan isu-isu strategik negara serta masyarakat.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 328