Penganjuran HK Tech 300 Bukti Kesungguhan KPT Pacu Pembangunan Industri Digital Negara

Penganjuran HK Tech 300 Bukti Kesungguhan KPT Pacu Pembangunan Industri Digital Negara

Kerajaan memainkan peranan penting dalam melonjakkan pertumbuhan ekosistem Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta Syarikat Pemula (start-up) di Malaysia dengan menyokong pembangunan industri digital negara secara mampan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) contohnya, sentiasa menggalakkan para mahasiswa dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama industri, menganjurkan pertandingan medan perniagaan, menawarkan geran dan bimbingan daripada para pakar, serta mengalu-alukan pelbagai inisiatif yang dapat memperkukuhkan lagi lanskap pendidikan tinggi negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pelancaran 'Hong Kong Tech 300 (HK Tech 300) Southeast Asia Start-Up Competition' anjuran City University of Hong Kong (CUHK) di ibu kota hari ini.

Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah pertandingan berprestij yang julung kali diadakan di rantau ASEAN tersebut merupakan penghormatan serta manifestasi kesungguhan Malaysia dalam melahirkan siswazah yang cemerlang dan menjadi rebutan industri yang mampu memacu ekonomi digital negara ke satu tahap yang dibanggakan.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Penasihat Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato' Prof. Emeritus Dr. Morshidi Sirat yang turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara CUHK dengan Universiti Malaya (UM) serta beberapa universiti ternama rantau ASEAN yang lain.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1841
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 25 April 2024, 18:19:27.