PENGUKUHAN JATI DIRI PENTING HADAPI CABARAN TEKNOLOGI

PENGUKUHAN JATI DIRI PENTING HADAPI CABARAN TEKNOLOGI

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menekankan kepentingan pengukuhan jati diri dalam kalangan pelajar sebagai elemen utama untuk mendepani cabaran teknologi yang semakin canggih.

Dalam sesi dialog “Talk to Us” bersama para pelajar bersempena lawatan kerja di Politeknik Ungku Omar (PUO) petang tadi, beliau menegaskan bahawa teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) harus dimanfaatkan secara bijak tanpa mengabaikan nilai-nilai keagamaan dan sahsiah.

Menurutnya lagi, “Cabaran teknologi sentiasa wujud, tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kita memupuk nilai jati diri yang kuat dalam pelajar. Ini akan menjadi penapis kepada pengaruh negatif yang terhasil daripada perkembangan teknologi.”

Melalui inisiatif ini, kerajaan berharap dapat membangunkan generasi pelajar yang mampu menghadapi cabaran masa hadapan dengan kekuatan sahsiah dan kemahiran teknologi yang seimbang, seiring usaha meningkatkan ekosistem pendidikan tinggi negara.

Beliau seterusnya mempengerusikan sesi townhall “Talk to Us” yang melibatkan pelajar dan alumni, di mana pelbagai isu dan cabaran dalam pendidikan tinggi dibincangkan.

Terdahulu, YB Timbalan Menteri telah singgah ke PUO Kampus Cawangan Bercham yang baharu diterima secara rasmi minggu lalu sebelum ke PUO Kampus B bagi merasmikan makmal realiti maya (VR Lab).

Lawatan kemudiannya diakhiri dengan upacara simbolik menanam pokok serta sesi ramah mesra bersama pelajar serta kakitangan asal Sabah di situ.

Program lawatan kerja ke PUO ini merupakan kesinambungan inisiatif beliau untuk turun padang ke institusi TVET di bawah KPT yang bermula sejak tahun lalu.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Ts. Haji Kamaludin Daud; serta Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah.  

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 185
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 07 Februari 2025, 01:24:25.

logo-sirim