Perdana Menteri Hadir Jayakan Program Temu Anwar Di UPNM

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menjadi tuan rumah bagi forum Temu Anwar yang menyaksikan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir bagi berkongsi pandangan dalam isu pendidikan, teknologi, keselamatan negara, serta peranan Malaysia dalam arena antarabangsa bersama mahasiswa di situ.
YAB Perdana Menteri menekankan peranan penting UPNM dalam membentuk barisan pertahanan negara yang bukan sahaja bijak dan berkemahiran, tetapi juga berakhlak tinggi.
Menurutnya, pendidikan yang diberikan di UPNM harus merangkumi nilai dan disiplin untuk membentuk pemimpin yang cekal dan berintegriti.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap budaya buli dan samseng dalam institusi pendidikan yang dianggap boleh merosakkan budaya pembelajaran dan pembangunan sahsiah mahasiswa.
Selain itu, teknologi Kecerdasan Buatan (AI) turut dibincangkan, di mana beliau menasihati pelajar agar tidak bergantung sepenuhnya kepada AI tetapi harus mengasah pemikiran kritis sebagai asas yang kukuh.
Dalam isu antarabangsa, beliau mengingatkan tentang tanggungjawab moral Malaysia dalam menyuarakan isu kemanusiaan seperti konflik di Gaza.
YAB Dato’ Seri Anwar juga menggalakkan mahasiswa untuk meneroka bidang keusahawanan dengan sokongan dana Kerajaan, yang menurutnya, Kerajaan komited dalam menyediakan bantuan dan dana bagi membantu graduan membina perniagaan mereka sendiri, sebagaimana ditunjukkan oleh kejayaan syarikat tempatan seperti Aerodyne dan Farm Fresh.
Menutup sesi, YAB Dato’ Seri Anwar mengingatkan para pelajar untuk memikul amanah sebaiknya dengan menyeru mereka supaya terus menimba ilmu dan menjaga nilai kemanusiaan sejajar dengan harapan besar yang diletakkan kepada mereka sebagai pemimpin masa depan negara.
Usai forum, beliau bersama para tetamu yang lain telah memeriahkan Kenduri Rakyat UPNM yang telah diadakan di Masjid UPNM, sebelum menunaikan solat fardu Jumaat di situ.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Pengerusi Lembaga UPNM, Tan Sri (Dr) Syed Azman Syed Ibrahim; serta Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1793