Persidangan SiDe 2025: Pacu Inovasi Sosial Dalam Reka Bentuk Dan Persekitaran Binaan

Persidangan SiDe 2025: Pacu Inovasi Sosial Dalam Reka Bentuk Dan Persekitaran Binaan

Persidangan Antarabangsa Inovasi Sosial dalam Reka Bentuk dan Persekitaran Binaan (SiDe) 2025 berjaya menghimpunkan ahli akademik, pemimpin industri, pembuat dasar dan profesional kreatif.

Majlis pembukaan persidangan ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Beliau menegaskan bahawa ekonomi kreatif bukan lagi satu sektor kecil, sebaliknya menjadi tunjang strategik bagi daya tahan ekonomi dan pembangunan industri masa depan.

“Malaysia mesti melabur dalam penyelidikan, pembangunan bakat dan transformasi digital untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam landskap kreatif global,” ujar beliau. Persidangan ini dianjurkan oleh Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM.

Antara pengisian utama termasuk ucaptama, perbincangan panel dan pembentangan penyelidikan mengenai inovasi dalam reka bentuk, kemampanan bandar, teknologi digital, dan pembangunan inklusif.

Kolaborasi antara akademia, industri dan pembuat dasar menjadi pemacu utama dalam memperkasa ekonomi kreatif Malaysia.

Dengan pendekatan rentas disiplin serta integrasi teknologi digital, persidangan ini memberi tumpuan kepada strategi pembangunan masa depan.

Persidangan ini turut menjadi platform bagi penyelidik, usahawan dan pereka bentuk untuk berkongsi ilmu serta meneroka penyelesaian inovatif.

Antara topik utama yang dibincangkan termasuk ekonomi kitaran dalam seni bina, bandar pintar, inovasi digital dalam industri kreatif dan reka bentuk berasaskan komuniti.

SiDe 2025 sejajar dengan visi strategik Malaysia untuk menjadikan ekonomi kreatif sebagai pemacu pembangunan mampan dan kepelbagaian ekonomi.

Reka bentuk, inovasi dan impak sosial perlu bergerak seiring dalam membina masa depan yang lestari dan berdaya saing. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 132
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim