PM Luncur Institut Kajian Masa Depan Antarabangsa UIAM

PM Luncur Institut Kajian Masa Depan Antarabangsa UIAM

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencatat sejarah tersendiri apabila telah menubuhkan Institut Kajian Masa Depan Antarabangsa (International Institute of Future Studies - IIFS) sebagai pusat kajian khusus dalam bidang masa depan dan strategik.

Disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dalam ucapannya menekankan bahawa “pengajian masa depan perlu dijadikan cabang ilmu yang serius dan relevan” demi memastikan negara sentiasa bersedia menghadapi cabaran ekonomi serta kemajuan teknologi yang kian pantas.

IIFS bakal diterajui oleh Prof. Dr. Ziauddin Sardar, seorang pemikir dan sarjana Islam antarabangsa sohor dengan konsep “Pascanormal (Post-Normal Time)” yang mengilhamkan

pendapat bahawa dunia semasa yang penuh ketidaktentuan menuntut perspektif baharu dalam pembangunan ilmu dan polisi.

Dengan terbentuknya IIFS, Malaysia diharapkan dapat berperanan sebagai hab penyelidikan strategik yang memanfaatkan pelbagai disiplin, merentasi sempadan akademik tempatan dan antarabangsa.

Dalam majlis yang sama, YAB Perdana Menteri telah turut meluncurkan buku “A Malik Bennabi Reader” hasil suntingan pensyarah UIAM, Prof. Dr. Mohamed El Tahir El Mesawi.

Buku ini menghimpunkan penulisan tentang pemikiran Malik Bennabi, seorang tokoh pemikir Islam terkenal yang menyentuh isu pembangunan dan kebangkitan peradaban.

Peluncuran ini memperlihatkan hasrat UIAM untuk terus menjalin gabungan antara pengajian tradisi dan perspektif kontemporari, selari dengan penubuhan IIFS sebagai wadah pertemuan pelbagai wacana intelektual masa kini.

Selain itu, harapan besar turut diletakkan agar sinergi antara bidang akademik dan dasar kerajaan dapat melahirkan generasi yang bersedia meneroka kemungkinan masa hadapan, sekaligus menjadikan Malaysia pemacu utama dalam kajian masa depan di rantau ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman; dan Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 272
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim