PM Seru Rakyat Jaga Keharmonian, Usaha Capai Potensi Besar Negara

PM Seru Rakyat Jaga Keharmonian, Usaha Capai Potensi Besar Negara

Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim melaungkan seruan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang majmuk dan pelbagai ini supaya negara kekal harmoni dan berdaya saing seiring dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.

Jelasnya lagi, biarpun masing-masing memiliki budaya, bahasa, agama dan fahaman yang berbeza, itu semua tidak harus dijadikan alasan kepada perpecahan, malah patut diangkat sebagai asas kepada semangat cintakan negara.

YAB Perdana Menteri berkata demikian dalam Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 yang dihadiri kira-kira 7,000 peserta daripada pelbagai agensi antaranya penjawat awam, warga pendidik, majlis perwakilan pelajar, pesara polis dan badan bukan kerajaan di sini petang tadi.

Justeru, beliau mahu sambutan Hari Kebangsaan 2024 esok dimanfaatkan dengan menghargai nilai serta sejarah yang terlakar dalam usaha negara ini mencapai kemerdekaannya 67 tahun lalu.

“Saya mahu mengajak semua rakyat Malaysia agar menerima kedatangan merdeka atas kekuatan setiap bangsa yang bersatu walaupun masing-masing berbeda pendapat.

Di dalam negara yang tercinta ini, setiap rakyat mesti diberi perlindungan, ditunjuk kasih sayang dan diberi pembelaan yang secukupnya", ujarnya lagi.

Malah, beliau turut menyalakan rasa bangga ke setiap sanubari tetamu yang hadir dengan membayangkan potensi besar negara apabila seluruh lapisan rakyatnya bersatu padu.

“Percayalah, negara ini hebat kerana hebat rakyatnya, negara ini potensinya lebih hebat kalau kita berpakat, angkat darjat negara ini sebagai negara hebat di dunia ini.

“Apa kurangnya di negara kita, apa kurangnya kesedarannya, pencerahannya, keupayaan menarik pelaburan, tingkat pendidikan, kemudahan kesihatan harus semua ini diperbaiki, untuk yang paling kaya kepada yang paling miskin jangan pinggirkan sesiapa, kerana negara ini punya keupayaan,” seru beliau.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato, Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, serta Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1314
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 13 Februari 2025, 04:02:30.

logo-sirim