Polisi Pengintegrasian Dan Tadbir Urus Data KPT & Kerangka Kerja Pengintegrasian Data KPT Inisiatif Tingkat Kecekapan Pengurusan Dan Penggunaan Data Sektor Pendidikan Tinggi

Majlis Peluncuran dan Jerayawara Polisi Pengintegrasian dan Tadbir Urus Data Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Kerangka Kerja Pengintegrasian Data KPT sebagai inisiatif penting kementerian menguatkan kecekapan pengurusan dan penggunaan data dalam sektor pendidikan tinggi di Malaysia telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang di sini pagi tadi.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selaku kementerian yang bertanggungjawab atas pengelolaan dan pengembangan pendidikan tinggi di negara ini tidak ketinggalan dalam mengangkat agenda pendigitalan kerajaan yang seterusnya meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Polisi diwujudkan ini mampu memberikan satu kerangka kepada organisasi bagi memastikan tadbir urus, modal insan dan teknologi menyokong pengintegrasian data selaras dengan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Bilangan 1 Tahun 2024 bertujuan untuk memaklumkan penggunaan polisi dan kerangka tersebut sebagai dokumen rujukan utama bagi pengurusan pengintegrasian dan tadbir urus data di Bahagian (Ibu Pejabat KPT), Jabatan, Agensi dan Institusi Pendidikan Tinggi di bawah ekosistem KPT yang telah diedarkan pada Ogos lalu.
Polisi ini turut menggariskan hala tuju pengintegrasian data KPT bagi mewujudkan satu sumber rujukan data tunggal, data yang berkualiti, berintegriti tinggi dengan jaminan keselamatan, tepat dan terkini.
Manakala Kerangka Kerja Pengintegrasian Data KPT memberi gambaran secara keseluruhan perkara yang diperlukan untuk menyokong inisiatif pengintegrasian data KPT agar dapat dilaksanakan dengan berkesan. Kerangka Kerja ini dibahagikan kepada lima (5) komponen utama iaitu polisi, teknologi, pengguna, piawaian, dan garis panduan.
YBhg. KSU berkata, pengintegrasian data di antara sistem-sistem di Institusi Pendidikan Tinggi dan pemegang taruh yang lain adalah penting untuk pembuatan dasar yang lebih strategik, efisien dan berasaskan bukti.
Jelas beliau lagi, data yang tepat, lengkap, dan konsisten membantu pemantauan prestasi institusi, perancangan masa depan yang lebih baik, serta penggunaan sumber yang lebih efisien selain dapat mengurangkan pengulangan dan percanggahan data, memudahkan operasi sistem, dan menyokong kolaborasi antara pihak berkepentingan.
“Saya berharap agar semua peserta dapat memanfaatkan sesi jerayawara ini dengan sebaik-baiknya dan membawa pulang ilmu untuk dilaksanakan serta idea yang dapat diterapkan dalam tugas harian,” tambah beliau.
Dalam pada itu, pembentangan berkaitan Polisi Pengintegrasian dan Tadbir Urus Data KPT & pembentangan Kerangka Kerja Pengintegrasian Data KPT turut disampaikan oleh UKM Pakarunding Sdn. Bhd.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub; Pegawai-pegawai Kanan KPT; Ketua Pengarah Jabatan Persekutuan; Timbalan Naib Canselor; Ketua Pegawai Digital (CDO) dan Pengarah - pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1399