PolyCC Zon Sarawak Perlu Bersama Kerajaan Tingkat Minat Generasi Muda Ceburi Bidang STEM

PolyCC Zon Sarawak Perlu Bersama Kerajaan Tingkat Minat Generasi Muda Ceburi Bidang STEM

Bilangan murid dan pelajar dalam bidang STEM di Malaysia sedang menunjukkan trend yang kurang memberangsangkan dan dikhuatiri tidak mampu memenuhi gagasan kerajaan menjadi sebuah negara berteraskan ekonomi berteknologi tinggi.

Justeru, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi menyeru kepada kepimpinan Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) Zon Sarawak untuk bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempelbagaikan inisiatif dalam usaha menarik minat pelajar dan komuniti menceburi bidang STEM juga TVET.

YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang membuat lawatan kerja ke Politeknik Kuching (PKS) siang tadi telah turut menitipkan pesanan sama kepada para pelajar di situ.

Pada lawatan itu, Pengarah PKS, Samsudin Mohd. Saleh telah memberi penerangan sepintas lalu kepada YB Timbalan Menteri berkenaan sejarah, peranan dan pencapaian politeknik tersebut.

Semenjak ditubuhkan pada tahun 1988, PKS menawarkan 13 buah program pengajian di peringkat Diploma dan 2 program pengajian di peringkat Pra Diploma meliputi bidang kejuruteraan, petrokimia, teknologi maklumat, dan perdagangan.

Sehingga kini, PKS telah melahirkan kira-kira 34,000 orang graduan dengan 3852 orang pelajar sedang meneruskan pengajian di situ.

Dalam kesempatan itu, beliau yang mengangkat para pelajar PKS sebagai 'Duta Keharmonian' turut mengajak mereka untuk menerapkan fahaman kesederhanaan serta menyebarluaskan formula kesejahteraan rakyat Sarawak ke komuniti lain di Malaysia.

Pada penghujung lawatan, beliau telah turut mengadakan program Jejak MADANI ke Syarikat Kejuruteraan AUM Sdn Bhd di Samariang yang telah diasaskan oleh alumni PKS, Ts. Hamzah Man.

Lebih menarik, syarikat tersebut turut diusahakan bersama isteri dan anak pererempuannya yang juga merupakan alumni PKS.

Program tersebut bertujuan meninjau kejayaan para usahawan alumni PolyCC yang telah menjadikan bidang TVET sebagai teras perniagaan mereka untuk dijadikan teladan dan inspirasi.

Hadir sama para pengarah PolyCC Zon Sarawak. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1394
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 06 Disember 2024, 10:19:49.

logo-sirim