PPRN Platform Terbaik Penyelidikan Berimpak Tinggi Antara IPT Dan Industri

PPRN Platform Terbaik Penyelidikan Berimpak Tinggi Antara IPT Dan Industri

Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) diseru untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran dengan pihak industri dan masyarakat melalui program Public-Private Research Network (PPRN) agar manfaat daripada pemindahan pengetahuan dan teknologi ini dapat menjana pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan, merangkumi peningkatan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

Dana projek PPRN yang tersedia di bawah payung 'Research, Development, Commercialisation and Innovation' (RDCI) yang diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membenarkan para penyelidik dan industri bekerjasama menjalankan aktiviti RDCI berimpak tinggi yang berupaya membina kepakaran dalam bidang tertentu dan seterusnya membantu industri dalam perkembangan dalam peningkatan hasil dan kualiti rantaian nilai.

YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian ketika merasmikan Program Taklimat dan Pameran PPRN 2.0 bagi Zon Tengah di Universiti Putra Malaysia (UPM) pagi tadi.

Menurut beliau lagi, matlamat PPRN untuk membangunkan Ekosistem Inovasi dalam bidang strategik dan kritikal berpadanan dengan fungsinya sebagai salah satu inisiatif lonjakan ke-7 Ekosistem Inovasi, Pelan Pembangunan Pendidikan 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Beliau berharap program ini akan diteruskan melibatkan lebih ramai akademia, pemain industri, agensi-agensi kerajaan dan swasta pada skala yang lebih besar.

Hadir sama YBhg. Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT; YBhg. Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM); dan YBhg. Dato' Prof. Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM).

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2950
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 25 April 2024, 18:19:27.