Premier Sarawak Rasmi Pusat Kesihatan Prima Hospital Pengajar UNIMAS

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud hadir ke Majlis Perasmian Pusat Kesihatan Prima, Hospital Pengajar, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg siang tadi.
Fasiliti tersebut telah mula menawarkan perkhidmatan kepada orang awam pada 4 November 2024 lalu dan merupakan sebahagian daripada keseluruhan Projek Pembinaan dan Penyiapan Hospital Pengajar dan Pusat Kesihatan Prima, UNIMAS.
Fasa 1 terdiri daripada Pusat Kesihatan Prima (PKP), manakala Fasa 2 pula mengkhusus kepada pembinaan dan penyiapan bangunan utama Hospital Pengajar UNIMAS (HPUNIMAS).
Selain memberi perkhidmatan perubatan, Pusat Kesihatan Prima juga berfungsi sebagai fasiliti bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta latihan praktikal pelajar-pelajar perubatan UNIMAS, sejajar dengan usaha melahirkan graduan perubatan yang berkualiti.
Malah, ia diharap bakal menjadi platform unggul dalam mengintegrasikan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan kesihatan.
Pusat Kesihatan Prima juga memainkan peranan penting dalam memastikan akses kepada rawatan kesihatan berkualiti dapat diperluaskan melalui perkhidmatan yang ditawarkan bagi memacu agenda kesihatan dan kesejahteraan komuniti khususnya di sekitar Samarahan, Kuching dan Serian.
Terdahulu, UNIMAS telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Borneo Specialist Hospital Sdn. Bhd. dan juga turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama tiga (3) rakan strategik iaitu, China Medical University Hospital, Taiwan; Royal College of Surgeons, Ireland; dan University College Dublin, Kampus Malaysia dan SustaiNation.
Antara objektif utama pemeteraian MoU dan MoA ini adalah untuk menjalin pembentukan kerangka jaringan kerjasama yang lebih luas dalam pelbagai bidang, terutamanya berkaitan teknologi dalam bidang perubatan dan kesihatan, pendigitalan, smart hospital dan kitar semula yang akan menyokong ke arah transformasi dalam sektor kesihatan.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md. Amir.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 294