Presiden Erdogan Sampaikan Syarahan Umum, Perkukuh Hubungan Strategik Malaysia-Turkiye

Presiden Erdogan Sampaikan Syarahan Umum, Perkukuh Hubungan Strategik Malaysia-Turkiye

Usai Istiadat Konvokesyen Khas Universiti Malaya, Presiden Republik Turkiye, TYT Recep Tayyip Erdoğan seterusnya menyampaikan syarahan umum bertajuk “Kerjasama Strategik Turkiye-Malaysia dalam Abad Baharu” di hadapan kira-kira 3,000 orang hadirin di sini petang tadi.

Program ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, para menteri kabinet, duta-duta asing serta lebih 1,000 peserta daripada pelbagai sektor.

Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan alu-aluan beliau menzahirkan penghargaan ke atas TYT Presiden Erdoğan untuk lawatan kerja ke Malaysia, sambil turut menekankan hubungan erat antara Kuala Lumpur dan Ankara yang terus berkembang dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, teknologi dan pendidikan.

Dalam syarahannya, TYT Presiden Erdoğan menekankan kepentingan hubungan strategik antara Malaysia dan Turkiye yang telah terjalin sejak abad ke-16.

Beliau menyatakan bahawa kedua-dua negara berkongsi nilai sejarah dan budaya yang kukuh serta memiliki potensi besar untuk memperkukuhkan kerjasama dalam bidang ekonomi, pertahanan dan pembangunan teknologi.

Beliau turut menyentuh isu geopolitik global, termasuk keperluan untuk mewujudkan sistem antarabangsa yang lebih adil dan inklusif.

Malah, beliau turut menegaskan bahawa dunia tidak boleh terus dikawal oleh segelintir kuasa besar dan menyeru kepada reformasi dalam sistem global untuk memastikan keseimbangan yang lebih saksama, dengan slogan beliau, “The World is Greater Than Five” menjadi simbol kepada usaha ini.

Selain itu, beliau mengucapkan penghargaan terhadap pendirian Malaysia dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dan mengutuk tindakan Israel yang telah mengorbankan lebih 61,000 nyawa di Gaza.

Beliau mengulangi komitmen Turkiye dalam membantu membangunkan semula Gaza dan memastikan keadilan bagi rakyat Palestin dapat dicapai.

Dari segi kerjasama ekonomi, Presiden Erdoğan mengumumkan bahawa perdagangan antara Malaysia dan Turkiye telah melepasi nilai USD 5 bilion pada tahun 2024, dengan sasaran baharu sebanyak USD 10 bilion dalam beberapa tahun akan datang.

Sektor teknologi dan pertahanan juga menjadi keutamaan dalam usaha memperkukuhkan hubungan dua hala, termasuk kerjasama dalam pembangunan industri penerbangan dan teknologi semikonduktor.

Majlis syarahan umum ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan strategik serta membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan.

TYT Presiden Erdoğan mengakhiri syarahannya dengan menyeru generasi muda Malaysia untuk turut serta dalam pembangunan global dan menyumbang kepada usaha membentuk dunia yang lebih adil dan sejahtera.

Hadir sama para Menteri Kabinet; duta-duta; pengurusan tertinggi kementerian; serta para pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 304
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim