Presiden Jerman Diberi Sambutan Negara

Presiden Jerman Diberi Sambutan Negara

TYT Frank-Walter Steinmeier, Presiden Republik Persekutuan Jerman yang dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia bermula semalam telah diberi Sambutan Negara di Dataran Parlimen pagi tadi.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menyambut ketibaan TYT Presiden Republik Persekutuan Jerman bersama YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri; YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi; YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi; serta dif-dif kehormat yang lain.

Upacara sambutan dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Jerman dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), tembakan meriam sebanyak 21 das dan disusuli dengan pemeriksaan kawalan kehormat ke atas Batalion Pertama RAMD oleh TYT Presiden Republik Persekutuan Jerman.

Beliau dijadual mengadakan Kunjungan Mengadap ke atas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, disusuli dengan satu Majlis Santapan Negara bagi meraikan delegasi dari Jerman tersebut.

TYT Presiden Republik Persekutuan Jerman kemudiannya akan menerima kunjungan hormat YAB Perdana Menteri bagi membincangkan pelbagai isu berkepentingan melibatkan kedua-dua negara.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1763
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 18 April 2024, 14:41:25.