Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah Dilantik Naib Canselor UMK Ke-7

Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah Dilantik Naib Canselor UMK Ke-7

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyerahkan watikah pelantikan kepada Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang ketujuh berkuat kuasa 16 Februari 2025.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1998 dan 1999 serta Ijazah Doktor Falsafah dalam Pengurusan Binaan (Construction Management) di Loughborough University, United Kingdom pada tahun 2003.

Memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 1999 dan pernah dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Inovasi) di Pusat Inovasi dan Pengkomersialan, UTM dari tahun 2010 hingga 2014.

Seterusnya, beliau dipinjamkan ke Jabatan Pendidikan Tinggi selama lima (5) tahun dari tahun 2014 sebagai Pengarah Bahagian Hubungan Industri sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK dari tahun 2019 hingga kini.

Memiliki kepimpinan institusi dan pengalaman pentadbiran organisasi yang luas di pelbagai peringkat, Kementerian yakin Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah mampu menerajui UMK dalam mengupayakan pembangunan akademik dan memperkasa kecemerlangan berteraskan inovasi bagi melahirkan bakat terbaik negara terutama dalam bidang keusahawanan secara optimum.

Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dato’ Prof. Dr. Razli Che Razak atas jasa bakti beliau menerajui UMK sebelum ini.

Hadir sama di sesi penyerahan di pejabat YB Menteri petang tadi Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 189
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim