Program Got KPT-MDEC: Latih 5,518 Graduan Pacu Ekonomi Digital Global

Program Got KPT-MDEC: Latih 5,518 Graduan Pacu Ekonomi Digital Global

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus menunjukkan komitmen terhadap kebolehpasaran graduan melalui inisiatif-inisiatif inovatif yang disesuaikan dengan ekonomi digital.

Majlis Penutupan Program Global Outsourcing Talent (GOT) anjuran KPT dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), telah diadakan di sini petang tadi bagi meraikan kejayaan 5,518 peserta yang berjaya dilatih sebagai pekerja bebas digital atau ‘freelancer’ berkemahiran tinggi.

Program GOT adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah payung PENJANA KPT-Career Advancement Programme (PENJANA KPT-CAP) yang menyasarkan pelajar tahun akhir serta graduan, bagi membangunkan kemahiran digital mereka melalui latihan dalam bidang seperti Reka Bentuk Web, Media Kreatif, Pengurusan Media Sosial, Pembantu Maya, dan Linguistik.

Hadir merasmikan majlis penutupan, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, “Program GOT bukan sekadar satu inisiatif pembangunan modal insan tetapi merupakan satu manifestasi kesungguhan kerajaan, KPT, serta rakan strategik seperti MDEC dan Insititusi-institusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk memastikan rakyat Malaysia dapat memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh ekonomi digital”.

Menggunakan peruntukan RM25 juta melalui Dana PENJANA KPT-CAP, program intensif ini berlangsung selama hampir setahun, bermula pada 15 September 2023 hingga 31 Ogos 2024, dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilantik sebagai universiti penyelaras.

Untuk rekod, ada peserta yang telah berjaya menjana pendapatan hingga RM500,000 melalui projek-projek antarabangsa dalam bidang media kreatif, sekali gus menunjukkan betapa keberkesanan program ini dalam menyediakan graduan untuk bersaing di pasaran global.

Selain melatih graduan dengan kemahiran teknikal yang diperlukan, program ini juga menyasarkan peningkatan kebolehpasaran graduan dalam ekonomi gig, satu sektor yang semakin diterima ramai sebagai sumber pendapatan alternatif.

YB Datuk Ts. Mustapha turut menekankan kepentingan ekonomi digital sebagai masa depan Malaysia dan menyatakan bahawa program ini membantu graduan dan mahasiswa untuk lebih bersedia menghadapi ekonomi gig yang kini semakin memainkan peranan penting dalam ekonomi global.

Beliau berkata, “Latihan yang disediakan kepada para graduan memberikan mereka kemahiran relevan yang diperlukan dalam pasaran kerja global, di mana ekonomi gig kini semakin mendapat tempat”.

Malah, melalui inisiatif ini, KPT bukan sahaja membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan tetapi juga memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab bakat digital bertaraf dunia.

Hadir sama Pengerusi MDEC, YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Naib Canselor UKM, Dato’ Prof. Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1448
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 13 Februari 2025, 04:02:30.

logo-sirim