Program Orientasi Proses Penting Bentuk Kehidupan Baharu Mahasiswa Di Universiti

Program Orientasi Proses Penting Bentuk Kehidupan Baharu Mahasiswa Di Universiti

"Proses orientasi di universiti adalah penting untuk membentuk kehidupan baru dalam persekitaran universiti, yang mencerminkan masyarakat di luar kelak," ucap Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Kadir.

Malah, beliau turut mengimbau pengalaman peribadinya semasa zaman universiti dan menekankan bahawa universiti adalah tempat pembentukan pelajar menjadi individu yang matang dan berdaya saing.

Beliau berkata demikian ketika sesi interaksi dalam program 'Catching Up With Doc Zam' yang berlangsung di Dewan Muallim, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pagi tadi.

Program yang disertai oleh kira-kira 200 sukarelawan program Minggu Intelektual dan Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman (MILLENIA) UPSI.

Dalam ucapannya juga, beliau menekankan kepentingan interaksi antara pemimpin mahasiswa dan pihak universiti bagi membentuk pemimpin masa hadapan.

YB Dato' Seri Zambry juga menyatakan sokongan terhadap cadangan yang dikemukakan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI untuk membangunkan Hub Komersial MPP yang bertujuan untuk menjana pendapatan bagi MPP selain menjadi pusat keusahawanan pelajar.

Beliau menyifatkan idea tersebut sebagai satu inisiatif yang wajar dan berpotensi dikembangkan ke universiti lain sebagai projek perintis.

Di samping itu, YB Menteri turut membangkitkan isu kebajikan mahasiswa yang memerlukan perhatian khusus, termasuk bantuan kewangan bagi pelajar yang menghadapi kesukaran.

"Kita perlu pastikan tiada pelajar yang ketinggalan, terutamanya mereka yang menghadapi masalah kewangan".

YB Dato' Seri Zambry turut memuji inisiatif Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dalam menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada pelajar, termasuk bantuan kebajikan, bencana, serta pembiayaan pendidikan.

Program ini turut membuka ruang dialog antara mahasiswa dan YB Menteri, di mana pelbagai isu dan cadangan dibincangkan, termasuk cadangan bagi memperluaskan program mobiliti pelajar ke luar negara untuk memberikan pengalaman global kepada mahasiswa Malaysia.

Beliau turut mengakhiri ucapan dengan menyeru mahasiswa untuk menanamkan semangat ehsan dan empati dalam kehidupan seharian, serta pentingnya menjaga kebajikan rakan-rakan seperjuangan yang mungkin menghadapi kesulitan tanpa diketahui umum.

Interaksi antara YB Menteri bersama para sukarelawan dan pelajar pada pagi tadi telah memberi inspirasi kepada mereka untuk terus terlibat aktif dalam program universiti membina kemahiran kepimpinan yang kukuh.

Pada majlis tersebut juga, beliau telah menyaksikan penyerahan sumbangan bantuan pendidikan dan geran aktiviti YPS kepada pelajar UPSI.

Turut diadakan, penyerahan sumbangan zakat oleh Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS) berjumlah RM400,000 serta Lembaga Tabung Haji (TH) berjumlah RM350,000 kepada UPSI untuk dimanfaatkan dalam program pembangunan pelajar. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1913
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 06 Disember 2024, 10:19:49.

logo-sirim