Program Santuni MADANI KPT@KSB Dapat Sokongan Padu Kerajaan Negeri, 340 Kg Sampah Berjaya Dikutip Pada Siri Ke-4

Inisiatif Santuni MADANI KPT@KSB terus menerima sokongan padu daripada Kerajaan Negeri Melaka, menjadikannya antara program serampang dua mata yang penting dalam usaha memelihara alam sekitar dan mengukuhkan komuniti setempat.
Program siri keempat yang berlangsung di Kuala Sungai Baru pagi tadi menyaksikan 340 kg sampah berjaya dikumpul melalui insiatif gotong-royong oleh kira-kira 100 orang sukarelawan yang terdiri daripada komuniti tempatan serta Institusi-institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berdekatan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang mengetuai program tersebut, menegaskan bahawa program Santuni MADANI bukan sekadar aktiviti pembersihan tetapi juga satu usaha jangka panjang yang telah mendapat perhatian khusus daripada kerajaan Negeri Melaka.
“Mereka telah melihat bahawa program ini sangat baik, bukan sahaja kita istiqamah melaksanakannya setiap bulan, tetapi bajet yang digunakan juga sangat rendah. Saya percaya, walaupun mungkin 10 tahun akan datang nama Santuni MADANI tidak disebut lagi, masyarakat akan tetap terbiasa dengan budaya membersihkan kampung mereka setiap bulan,” jelasnya.
Pada masa yang sama, beliau turut mencadangkan agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu terlibat lebih aktif dalam menghadkan penggunaan plastik sambil memperkenalkan plastik terbiodegradasi bagi mengurangkan pencemaran jangka panjang.
Menurutnya, usaha ini penting kerana data kajian komposisi sampah bagi keempat-empat siri yang dikumpulkan oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mendapati berat sampah yang dikutip bukan sahaja hampir sama banyak, malah jumlah sampah plastik turut melebihi 70% keseluruhan kutipan.
"Dan, yang juga penting adalah jenis plastik yang digunakan itu jenis plastik yang biodegradable (mudah terurai). Jadi secara tak langsung, kalaulah tinggal lama di situ, dia akan mudah mereput, khususnya dalam keadaan pantai yang semula jadinya bersifat air masin ini".
Beliau juga menyatakan harapan agar inisiatif ini terus berkembang, sambil menambah bahawa keindahan pantai Kuala Sungai Baru perlu dipelihara, bukan hanya oleh penduduk tempatan, tetapi juga oleh para pengunjung yang menginap di inap desa (homestay) berdekatan.
“Tanggungjawab membersihkan kawasan ini adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya terletak di bahu pemilik homestay atau penduduk setempat sahaja,” tegasnya.
Malah, sokongan kukuh oleh kerajaan negeri dan penglibatan aktif komuniti setempat, program Santuni MADANI KPT@KSB juga mampu diangkat sebagai satu daripada model terbaik untuk inisiatif khidmat masyarakat yang mampan serta mudah diterjemahkan ke komuniti lain di seluruh negara.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1361