Program UpayaKPT@Sepanggar Merakyatkan Hasil Penyelidikan IPT Bagi Pembangunan Komuniti
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah merasmikan Program UpayaKPT di sini petang tadi.
Program UpayaKPT yang merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertujuan merakyatkan hasil penyelidikan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) agar ia dapat dimanfaatkan bagi pembangunan komuniti.
Menerusi program sebegini, pelbagai aktiviti seperti kursus pendek komuniti dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran dan pembangunan kapasiti dalam kalangan masyarakat.
Menerusi program ini juga KPT khususnya Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti akan turut melaksanakan program pemindahan ilmu, kepakaran dan teknologi kepada masyarakat.
Dalam pada itu, YB Timbalan Menteri (YBTM) dalam ucapannya berkata projek bantuan teknikal seperti pemasangan panel solar sepertimana yang dilaksanakan pada hari ini juga adalah antara aktiviti Program UpayaKPT.
"Program UpayaKPT@Sepanggar ini adalah bukan satu program bersifat 'one-off' tetapi ia akan dilaksanakan secara berterusan di kawasan Sepanggar, Sabah," ujarnya.
Menerusi program ini, IPT akan menyantuni masyarakat Sepanggar dan berusaha untuk membangunkan dan memperkasakan masyarakat dan komuniti di Sepanggar, Sabah.
Tambahan pula, Sepanggar atau Kampung Darau, Menggatal khususnya, dicadangkan untuk menjadi hab pendidikan dan kemahiran berikutan infrastrukturnya yang serba lengkap.
YBTM kemudiannya dibawa melawat Rumah Komuniti Kampung Darau Menggatal, meninjau perkhidmatan pemeriksaan kesihataan yang disediakan oleh Hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada komuniti setempat seterusnya menyaksikan pemasangan panel solar di gelanggang futsal berhampiran.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Ahmad Rizal Adnan; Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kassim Mansor; Pengarah-pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti dan; pegawai- pegawai KPT dan UMS.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 763