PTPTN Peruntuk RM39.8 Juta WPP, Ringankan Beban 26,534 Pelajar Baharu Ipta Sesi Oktober 2024

PTPTN Peruntuk RM39.8 Juta WPP, Ringankan Beban 26,534 Pelajar Baharu Ipta Sesi Oktober 2024

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus komited memastikan akses ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melibatkan pelajar Universiti Awam (UA) dan Politeknik tidak terhalang dek masalah kewangan.

Justeru, inisiatif KPT dalam menjaga kebajikan pelajar yang terkesan dengan memperuntukkan pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 kepada setiap yang layak diharap dapat menampung sebahagian kos persiapan awal mereka memasuki IPTA.

Lanjutan itu, bagi para pelajar yang akan memulakan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di IPTA sesi Oktober ini, PTPTN telah memperuntukkan tawaran WPP sebanyak RM39.8 juta yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 26,534 pelajar.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir petang tadi telah turun padang untuk menyerahkan sendiri tawaran WPP kepada 51 orang pelajar baharu di daerah ini yang akan memulakan sesi pengajian mereka Oktober nanti.

Semenjak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Ogos 2024, seramai 980,120 orang pelajar telah menerima manfaatnya yang melibatkan peruntukan sejumlah RM1.45 bilion.

Inisiatif ini diberikan kepada pelajar baharu warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerimanya semasa membuat permohonan melalui portal UPUOnline®️ atau melalui portal kemasukan IPTA masing-masing.

Selain itu, WPP juga ditawarkan kepada para pelajar yang ibu bapa atau penjaganya merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan para peminjam yang telah menerima manfaat daripada pembiayaan PTPTN untuk dapat menjelaskan pembayaran balik pinjaman mereka dengan penuh tanggungjawab dan berhemah.

Ini kerana setiap jumlah yang dibayar balik tersebut dapat mengekalkan peranan serta kelangsungan PTPTN dalam membantu para pelajar mencapai cita-cita mereka di menara gading.

Hadir sama Ahli Dewan Negara merangkap Penyelaras Kawasan Beruas, Datuk Dr. Azhar Ahmad; Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; serta Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Perak, Andi Nurali Mohamed. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1780
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 07 Februari 2025, 10:01:10.

logo-sirim