PTPTN Umum Dividen Simpan SSPN 2024 4.05%, Tertinggi Dalam 10 Tahun

PTPTN Umum Dividen Simpan SSPN 2024 4.05%, Tertinggi Dalam 10 Tahun

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hari ini mengumumkan kadar dividen Simpan SSPN sebanyak 4.05 peratus bagi tahun 2024 – tertinggi dalam tempoh sedekad.

Pengumuman tersebut dibuat semasa Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2024 dan Pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025 yang berlangsung di sini petang tadi.

Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan bahawa kejayaan PTPTN dalam mengekalkan keyakinan rakyat terhadap skim tabungan pendidikan ini mencerminkan keberkesanan dasar-dasar pendidikan tinggi Kerajaan yang memberi tumpuan kepada keterjaminan akses pendidikan masa depan anak-anak Malaysia.

“Dividen sebanyak 4.05 peratus ini membabitkan peruntukan RM439.87 juta kepada 6.77 juta akaun dan merupakan bukti sokongan rakyat yang semakin tinggi kepada Skim Simpan SSPN,” ujar beliau sambil menambah bahawa kadar ini melonjak daripada 3.60 peratus pada tahun 2023.

Jumlah deposit yang direkodkan untuk tahun 2024 pula mencecah RM3.17 bilion, meningkat sebanyak RM24.37 juta berbanding tahun sebelumnya, manakala lebih 500,000 akaun baharu telah dibuka menjadikan jumlah keseluruhan akaun mencecah 6.77 juta dengan simpanan terkumpul RM20.56 bilion setakat 31 Disember 2024.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 75
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 15 Mei 2025, 10:21:07.

logo-sirim