Pusat Perubatan USM Bertam Diisytihar Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy

Pusat Perubatan USM Bertam Diisytihar Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy

Kecemerlangan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai sebuah universiti APEX terulung di negara ini mencatatkan sejarah baharu apabila Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) di bawah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM telah diisytihar sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan BranchyAcademy oleh sebuah organisasi antarabangsa berpangkalan di Belanda pada 12 Februari lalu.

Pengiktirafan tersebut merupakan hasil pencapaiannya sebagai satu-satunya pusat brakiterapi yang telah merawat kanser lidah dalam jumlah yang tinggi menggunakan teknik HyBIRT (Hybrid Brachytherapy- Intensity Modulated Radiotherapy) hasil inovasi pakar perubatan dan penyelidik USM yang turut menjadi perintis kepada teknik tersebut di seluruh dunia.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang turun Pulau Pinang untuk lawatan kerjanya ke beberapa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) hari ini, telah singgah ke IPPT bagi menyempurnakan perasmian PUSMB sebagai pusat kecemerlangan rawatan brakiterapi tersebut.

Semenjak pengiktirafan Februari lalu, IPPT telah tidak putus menerima undangan dan permohonan daripada ahli brakiterapi antarabangsa untuk hadir dan menerima latihan di situ.

Pesakit kanser kepala dan leher, terutamanya lidah telah menerima teknik HyBIRT iaitu rawatan terapi radiasi yang disalurkan melalui tiub aplikator yang dimasukkan terus ke dalam kanser.

Prosedurnya yang kurang invasif dan memulihara fungsi asal, membolehkan para pesakit mengekalkan fungsi lidah seperti bercakap dan menelan sebagaimana keadaan mereka normal dahulu.

Pada majlis yang sama, YB Menteri telah turut menyaksikan upacara penyerahan surat pengiktirafan daripada syarikat gergasi pembekal peralatan radioterapi dan rawatan kanser, Elekta kepada IPPT serta penyerahan geran penyelidikan ujian klinikal dalam bentuk alatan brakiterapi aplikator bernilai RM600 ribu.

YB Menteri turut berkesempatan menyaksikan demonstrasi kaedah tersebut dijalankan sambil turut meluangkan masa beramah mesra bersama bekas pesakit yang berjaya pulih hasil kaedah rawatan brakiterapi HyBIRT tersebut. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1524
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim