Sasar KPT, Inisiatif Baru Kementerian Memperkasakan Mahasiswa

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah melancarkan Program Siswa Aspirasi Rakyat Kementerian Pendidikan Tinggi (SASAR KPT) bersempena program In Person with Doc Zam@Lumut.
Majlis yang berlangsung di sini petang semalam telah dihadiri kira-kira 1,000 pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta dari seluruh negara.
Inisiatif ini memperkenalkan tiga (3) domain berimpak tinggi iaitu; University-Community Social Enterprise (UCSE), Bakti MADANI dan Inspirasi Varsiti.
1. Program University-Community Social Enterprise (UCSE) – Mendorong mahasiswa menjalankan perniagaan sosial yang tidak hanya berorientasikan keuntungan, tetapi juga memberikan impak positif kepada masyarakat dengan penyertaan 32 IPT, 53 pasukan dan lokaliti serta 424 orang pelajar.
2. Program Bakti Madani – Mahasiswa melibatkan diri dalam program khidmat bakti siswa-komuniti yang akan melibatkan 20 Universiti Awam (UA), 1,600 orang pelajar, serta 3200 ahli komuniti serata negara.
3. Program Inspirasi Varsiti– Membuka peluang kepada pelajar sekolah menengah untuk merasai pengalaman alam universiti, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) yang akan melibatkan 20 UA, 100 buah sekolah, serta 2,000 orang pelajar.
Mengangkat tema "Pemerkasaan Mahasiswa Ke Arah Pembangunan Komuniti", inisiatif ini dilaksanakan secara bersasar ke arah pemberdayaan rakyat sekali gus melahirkan siswa yang mampu menguasai intelek manusiawi berwatak glokal dalam menjuarai isu rakyat.
Dalam ucapannya, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menekankan kepentingan mendekatkan hubungan antara kepimpinan negara dan mahasiswa bagi melahirkan pemimpin masa depan yang dinamik dan berketerampilan.
Program ini juga menyerlahkan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menyediakan platform kepada pelajar universiti untuk menyumbang kembali kepada masyarakat sambil mengasah kemahiran kepimpinan dan kesukarelawanan.
Pelancaran SASAR KPT 2024 menggambarkan usaha berterusan kerajaan untuk memperkasa mahasiswa sebagai agen perubahan sosial yang progresif.
Majlis turut menyaksikan penyerahan cek cura (mock cheque) geran berjumlah RM 1.97 juta kepada UCSE; RM 250,000 kepada Bakti Madani; dan RM80,000 untuk Inspirasi Varsiti.
Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato' Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran; Ketua Eksekutif, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abd Majid; serta para pengurusan tertinggi IPT awam dan swasta.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 568