Sekretariat Pemikir Muda Negara, Platform Perkasa Kepimpinan Akademik Muda
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, telah merasmikan Sekretariat Pemikir Muda Negara (PEMIKIR) dalam satu majlis peluncuran sempena Program KARISMA Pemikir MADANI Siri 4 yang berlangsung di sini petang tadi.
Majlis ini turut menyaksikan penyampaian watikah pelantikan kepada 23 orang pensyarah muda dari Universiti Awam seluruh negara yang dilantik sebagai ahli sekretariat tersebut.
Penubuhan Sekretariat PEMIKIR ini berfungsi sebagai platform strategik untuk membangunkan bakat kepimpinan dalam kalangan pensyarah muda yang berusia 45 tahun dan ke bawah.
Ia bertujuan untuk memperkukuh jaringan profesional, memperkasa bakat serta membantu pembinaan kerjaya yang berupaya menyumbang kepada pembangunan negara.
Program ini dilihat penting dalam menyokong agenda pendidikan tinggi negara dengan melibatkan golongan akademik muda sebagai 'think tank' yang dapat membantu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam merangka dasar dan inisiatif yang relevan dengan perkembangan teknologi terkini serta keperluan generasi muda.
Inisiatif ini merupakan langkah penting dalam proses rejuvenasi budaya ilmu dan ekosistem akademik di institusi pengajian tinggi.
Sekretariat ini diwujudkan sebagai lanjutan daripada Program KARISMA Pemikir MADANI anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang telah berjaya dilaksanakan dalam tiga siri sebelum ini.
Objektif utama PEMIKIR adalah untuk memacu kelestarian bakat dan kepakaran dalam kepimpinan masa depan pendidikan tinggi, di samping membina rangkaian intelektual di peringkat tempatan dan antarabangsa sekali gus merancakkan budaya wacana ilmu dan intelektual, seterusnya memberi impak positif kepada ekosistem pendidikan tinggi negara.
Melalui pelancaran PEMIKIR juga, KPT berharap ia bakal menjadi pemangkin kepada pembaharuan dan inovasi dalam sistem pendidikan tinggi Malaysia, sejajar dengan matlamat MADANI untuk membentuk masa depan yang lebih inklusif dan berdaya saing.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1293