Selamat Datang Dan Selamat Bertugas KSU KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim

Hari pertama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baharu, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim di kementerian telah disambut dengan penuh mesra dan hormat oleh seluruh warga pagi tadi.
Mengetuai sesi sambutan adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Mohamad Azhan Md. Amir, serta barisan kepimpinan tertinggi KPT.
YBhg. Datuk Dr. Anesee merupakan seorang tokoh pentadbiran yang berpengalaman luas dalam sektor awam dan pendidikan.
Pelantikan beliau adalah menggantikan Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, yang telah menamatkan perkhidmatan secara wajib pada 3 Mac lalu.
Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), memainkan peranan penting dalam merangka dasar dan inisiatif pembangunan sumber manusia negara.
Beliau berkelulusan Doktor Falsafah dari Durham University, United Kingdom, dan merupakan alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM), di mana beliau menamatkan pengajian di peringkat Sarjana, Sarjana Muda, serta Diploma.
Sejak memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) pada tahun 1994, beliau telah menyumbang khidmat bakti di pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan, termasuk JPA serta Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pengalaman beliau turut merangkumi perkhidmatan sebagai Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO di Paris, Perancis, yang memberikan beliau perspektif global dalam bidang pendidikan dan pentadbiran awam.
Dengan kepakaran dan kredibiliti yang dimiliki, pelantikan YBhg. Datuk Dr. Anesee diharap dapat memperkukuhkan lagi agenda pembangunan pendidikan tinggi negara.
Langkah ini selari dengan aspirasi kerajaan MADANI dalam memastikan sistem pendidikan tinggi yang berkualiti, inklusif, dan berdaya saing di persada antarabangsa.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 134