Sesi Townhall Siri 1 PPTM 2025-2035: Menyahut Aspirasi Bersama

Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035 bukan sekadar dokumen dasar tetapi satu dokumen yang dibangunkan secara inklusif dan kolektif.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Dasar, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian ketika berucap di sesi Townhall PPTM 2025-2035 yang berlangsung di sini petang tadi, memaklumkan bahawa sesi Townhall ini diadakan bertujuan untuk memberikan kefahaman yang jelas mengenai fokus baharu dan perubahan penting yang disasarkan di sepanjang tempoh pelaksanaan PPTM 2025-2035.
Selain itu, sesi ini juga merupakan platform bagi mendapatkan cadangan dan idea bernas mengenai kaedah dan model pelaksanaan daripada para pemimpin utama pendidikan tinggi negara.
PPTM 2025-2035 merupakan manifestasi harapan dan cita-cita bersama dan hanya akan berjaya apabila diterjemahkan dengan komitmen padu, kefahaman menyeluruh dan tindakan strategik oleh semua pelaksana dasar dari akar umbi hingga ke peringkat penggubal polisi.
“KPT amat berharap agar seluruh warga dan institusi pendidikan tinggi dapat benar-benar menghayati aspirasi dan prinsip yang terkandung dalam PPTM 2025-2035 serta memberikan komitmen dan kerjasama yang padu dalam menjayakan pelaksanaanya di semua peringkat,” ujar TKSU (Dasar) dalam ucapannya.
“Kita mesti bertindak sebagai satu ekosistem yang saling menyokong antara satu sama lain, ” tambahnya lagi.
Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim turut berkesempatan meluangkan masa seketika bersama semua tetamu yang hadir terdiri daripada Ketua Jabatan, Agensi dan Bahagian KPT serta Naib Canselor/ Timbalan Naib Canselor Universiti Awam serta Ketua Eksekutif Universiti Swasta.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; dan Ketua Pasukan Kumpulan Pakar Pembangunan Pelan Pendidikan Tinggi (PPTM) 2025-2035, YBhg. Prof. Emerita Datuk Dr. Asma binti Ismail.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 212