Sinergi KPT Dan Industri Mantapkan Agenda TVET Negara

Sinergi KPT Dan Industri Mantapkan Agenda TVET Negara

Selesai di Universiti Malaya, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin seterusnya ke Sime Darby Convention Centre bagi menyempurnakan Majlis Sambutan Hari TVET 2023 anjuran Yayasan Sime Darby (YSD) petang tadi.

Bertemakan 'Memperkasa Belia untuk Kerjaya Berpendapatan Tinggi', majlis tersebut telah diadakan oleh YSD bagi menghargai pencapaian dan sumbangan semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan agenda TVET Sime Darby yang mensasarkan untuk menggunakan 100% tenaga kerja tempatan terlatih menjelang 2027.

Dalam ucapannya, YB Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan keperluan sokongan peranan dan sumbangan pihak industri untuk berganding bahu dengan Kementerian dalam usaha menambah baik hala tuju TVET negara kerana sinergi antara kedua-dua pihak amatlah penting bagi mendepani isu dan cabaran semasa.

Usaha ini turut mampu menjayakan satu daripada keutamaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu mengembang dan memperkasa program TVET melalui pelbagai program ‘skilling’, ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ bukan sahaja kepada lepasan sekolah, malah kepada semua rakyat Malaysia yang berminat melalui rangkaian universiti awam di bawah MTUN (Malaysian Technical Universities Network), Politeknik dan Kolej Komuniti serata negara.

Selain itu, sinergi yang terhasil melalui kolaborasi kedua-dua sektor ini melibatkan perkongsian ilmu kepakaran, kemahiran dan hasil penyelidikan antara kedua-dua entiti ini akan memberi nilai tambah dan melonjakkan kualiti sektor pendidikan tinggi Malaysia yang seterusnya mampu memberi manfaat secara menyeluruh serta menguntungkan masyarakat dan negara.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YSD, YBhg. Dato' Jeffri Salim Davidson; Majlis Pimpinan YSD, Puan Sri Normah Hashim; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican; pengurusan kanan YSD serta para pelajar.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2406
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 18 April 2024, 14:41:25.